SEPANG – “Fatima tak nak lepaskan tangan saya, dia rindu.”
Demikian kata pelakon Fattah Amin, 35, sekali gus menebak sikap anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, 5, yang enggan berenggang dengannya pada majlis pernikahannya dan isteri, Amira Othman, 32, barangkali disebabkan rasa rindu terlalu tebal.
Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd. Amin berkata, dia juga sebenarnya tidak menjangkakan anaknya, Fatima akan bertindak sedemikian rupa malam tadi.
“Betul, dia (Fatima) tak mahu lepaskan saya. Sebab kebetulan dia pun tengok daddy dia hilang sebab masa itu dia pergi ke belakang. Mungkin juga dia rindu.
“Jadi bila dia nampak saya, dia terus peluk. Kita pun tak sangka ingat bila dia dah peluk, dia nak lepas. Rupanya dia tak lepaskan tapi, itulah mungkin dia rindulah.
“Saya pun sentiasa rindukan dia. Tapi alhamdulillah, Amira seorang yang boleh terima dan dia memang sangat memahami.
“Macam tadi pun (malam semalam) dia (Fatima) tak tahu sama ada dia nak lepaskan saya atau tidak, tapi bila Amira kata Fatima angguk itu yang saya bawa juga,” katanya kepada kepada Kosmo! Online.
Kata Fattah lagi, apa yang penting adalah melihat isteri dan anak gembira pada majlis pernikahan berkenaan dan syukur semuanya berlangsung dengan baik.
“Masa ‘rehearsal’ kita tak macam itu (Fatima tak nak lepaskan Fattah). Tapi, semuanya berlaku sudah ditakdirkan macam itu,” katanya.
Terdahulu, Fattah dan Amira selamat bernikah dalam majlis ijab dan kabul mereka yang berlangsung di Dewan Utama, Golden Palm Tree Bagan Lalang, di sini, malam semalam.
Fattah pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Nur Fazura pada 2017 sebelum bercerai talak satu pada 7 Oktober tahun lalu.
Hasil perkongsian hidup itu, Fattah dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya.
Majlis akad nikah Fattah dan Amira berlangsung meriah dengan diraikan ahli keluarga dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak serta disiarkan secara langsung di saluran Inspirasi Unifi TV 2.0. – KOSMO! ONLINE