Kisah anjing ‘bawa’ bekas petinju Itali ke Gaza

9 hours ago 6

PETALING JAYA – Perasaan bersalah setiap kali memberi makan anjing peliharaan dengan makanan lebih enak berbanding nasib kanak-kanak di Gaza yang kebuluran menjadi pendorong utama seorang warga emas berbangsa Itali untuk menyertai misi flotilla ke bumi bergolak itu.

Kisah itu dikongsikan oleh penulis dan aktivis, Zainal Rashid Ahmad yang turut serta dalam misi berkenaan semasa siaran langsung di platform TikTok, petang tadi.

Menurutnya, kapten kapal yang juga seorang bekas petinju profesional dari Itali itu nekad menyertai misi bantuan selepas terkesan melihat penderitaan rakyat Palestin.

“Dia kata, setiap kali bagi makan anjing di rumah, rasa bersalah sangat bila teringat anak-anak di Gaza tidak dapat menjamah makanan. Itu yang membuatkan dia berazam untuk sertai flotilla ini,” katanya.

Zainal berkata, kapten berkenaan mengakui sudah bosan hanya turun ke jalanan menyertai demonstrasi sebelum ini kerana merasakan ia tidak cukup memberi kesan nyata terhadap isu Palestin.

“Baginya, cara terbaik untuk menghilangkan rasa bersalah ialah dengan turun sendiri membantu dan membawa bekalan makanan untuk mereka yang sedang berjuang meneruskan hidup,” jelasnya.

Katanya lagi, walaupun bukan beragama Islam, lelaki berusia emas itu mempunyai jiwa besar serta empati yang tinggi terhadap penderitaan manusia lain.

“Saya sendiri berfikir, walaupun dia bukan Muslim dan tidak melalui proses tarbiah seperti kita, tetapi kerana keikhlasan dan rasa simpati itu, Allah pilih dia untuk sama-sama membantu,” katanya.

Terdahulu, kapal pertama konvoi Global Sumud Flotilla dilaporkan berlepas dari Pelabuhan Bizerte di utara Tunisia menuju ke Semenanjung Gaza.

Konvoi berkenaan merangkumi lebih 40 kapal dengan penyertaan lebih 800 aktivis dari 44 negara termasuk tokoh hak asasi manusia, doktor dan sukarelawan kemanusiaan. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |