Yayasan Peneraju lahir bakat bumiputera barisan hadapan

2 hours ago 2

Baru-baru ini Yayasan Peneraju (YP) mengumumkan penambahan 3,000 slot baharu bagi program pensijilan teknologi dan profesional, menunjukkan komitmennya dalam membuka ruang lebih luas untuk pembangunan bakat baharu.

Ia seiring dengan matlamat YP yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Ekonomi berperanan sebagai Talent Bank untuk mengenalpasti, memupuk dan mengurus bakat bumiputera bagi memacu daya saing di peringkat global.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ibrahim Sani, tambahan 3,000 slot ini memberi makna bahawa lebih ramai bakat bumiputera bakal mendapat peluang pembiayaan.

“Sebelum ini, kami hanya mampu menyokong sekitar 9,000 enrolmen bagi tahun kewangan 2025. Dengan penjimatan kos, hasil skim pembiayaan baharu yang dilaksanakan pada Februari lalu,kami berjaya menambah kapasiti kepada 12,000.

“Ini bukan angka kecil, setiap slot itu mewakili seorang pelajar yang akan dilatih sama ada dalam pensijilan profesional atau teknologi dan seterusnya menyumbang kepada keperluan tenaga mahir negara,” katanya kepada ­Kosmo! baru-baru ini, selain mengupas beberapa inisiatif untuk membangunkan lebih ramai akauntan bertauliah.

KOSMO!: Mengapa Yayasan Peneraju masih menekankan bidang perakaunan bertauliah sedangkan banyak pihak lebih memfokuskan kepada bidang teknikal dan vokasional?
IBRAHIM: Pada masa sekarang, kita memiliki lebih 200 ins­titusi TVET, tetapi dalam bidang perakaunan hanya empat atau lima organisasi yang benar-benar terlibat memberi pembiayaan dan hanya kami yang melakukannya secara agresif serta besar-besaran.

Jika kita lihat negara yang berjaya beralih daripada status membangun ke status maju, sektor kewangan adalah pemacu utama kepada kejayaan tersebut, termasuk Chartered Accountant, Chartered Financial Analyst dan ahli ekonomi. Jika dilihat pada dua dekad lalu, mereka kekura­ngan dalam sektor perakaunan tetapi sekarang, setelah membuat satu usaha terancang untuk membina bakat, kini mereka berjaya menuai hasil.

Melihat kepada Malaysia yang masih dalam perjalanan menuju ke status berpendapatan tinggi tetapi ia masih berdepan dengan isu stagnasi gaji dan keperluan sektor kewangan yang lebih kukuh.

Di­sebabkan itu, sejak 15 tahun lalu, Institut Akauntan Malaysia (MIA) menganggarkan bahawa negara memerlukan kira-kira 60,000 akauntan bertauliah. Tetapi sehingga ke hari ini, negara cuma ada sekitar 40,000 ahli MIA walaupun pelbagai usaha telah dibuat.

Bagaimana situasi sebenar permintaan pasaran terhadap akauntan bertauliah?
Permintaannya sangat tinggi yang mana 90 peratus pelajar kami sudah mendapat tawaran kerja sebelum tamat pengajian dan dalam tempoh enam bulan selepas tamat, hampir 100 peratus telah bekerja.

Biasanya, graduan program perakaunan akan tamat ijazah ketika umur mereka antara 24 hingga 25 tahun, kemudian ambil masa tiga hingga lima tahun lagi untuk menjadi seorang akauntan yang bertauliah.

Jadi pada umur mereka seawal 30-an, gaji mereka sekitar RM7,000. Tetapi dengan program yang kami tawarkan, mereka boleh memiliki akauntan bertauliah seawal umur 21 melalui The Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) atau Association of Chartered Certified Accountant (ACCA). Bila mereka berumur 24 tahun, mereka sudah memiliki status penuh dengan tiga tahun pengalaman kerja selain bergaji sekitar RM7,000 jadi mereka dapat mendahului rakan sebaya.

Bezanya, mereka tiada ijazah. Tapi apa gunanya ijazah perakaunan kalau badan industri tidak mengiktirafnya? Saya sendiri dulu tamat ijazah pada umur 24 dan hanya jadi bertauliah jauh lebih lewat. Kalau laluan pantas ini wujud masa itu, sudah tentu saya pilih program tersebut.

Bagaimana YP melihat isu graduan menganggur atau bekerja di luar bidang?
Memang ada jurang antara ijazah yang ditawarkan dengan keperluan sebenar pasaran kerja. Ramai graduan bidang khusus, sukar dapat kerja dalam ekonomi yang pantas berubah.

Ada juga isu mereka bekerja di bawah kela­yakan yang mana graduan bekerja di jawatan yang tidak menggunakan kemahiran mereka sepenuhnya.

Tetapi di YP, kami ambil pendekatan dua hala iaitu pertama, program pensijilan profesional untuk mereka yang sudah bekerja tetapi underemployed dan kedua adalah program YPXLR8 (YP Accelerate) untuk yang masih menganggur.

Kami beri subsidi gaji RM1,500 sebulan selama lapan bulan, selain subsidi latihan RM5,000 hingga RM9,000 mengikut kursus teknologi.

Apa fokus utama YP?
Tumpuan kami hanya pada dua bidang iaitu pensijilan profesional dan teknologi. Dulu kami fokus kepada lima bidang termasuk perubatan, ijazah dan TVET, tetapi ia kini di bawah agensi lain.

Selepas lebih 10 tahun, di manakah alumni YP hari ini?
Ramai alumni 2012 hingga 2014 sudah berada di pertengahan kerjaya, malah ada yang hampir ke C-suite. Ada yang jadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), ketua pegawai kewangan dan ada juga menjadi usahawan berjaya.

Kami juga sedang laksanakan program ke­pimpinan selaras RMK-13, untuk lahirkan pemimpin perniagaan, profesional dan sosial.

Ada individu yang boleh jadi pemimpin dalam semua ruang ini sekali gus. Contoh CEO AirAsia, beliau seorang akauntan (profesional), pemimpin perniagaan dan juga pe­mimpin sosial kerana aktif bantu komuniti.

Jadi, hala tuju kami bukan sekadar lahirkan individu kompeten, tetapi membina ekosistem kitaran positif pencipta nilai (Virtous Cycle). Ini proses jangka panjang yang bukan sahaja ubah individu, tetapi juga fabrik sosial bumiputera.

Apakah program yang mendapat penyertaan paling tinggi daripada pelajar?
Bidang perakaunan kekal sebagai pilihan paling popular dengan lebih 850 pelajar sedang mengikuti ACCA termasuk 701 pelajar melalui laluan pasca-Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sam­butan terhadap laluan lain seperti CIMA, CPA Australia, ICAEW dan MICPA x CA ANZ juga semakin meningkat.

Selain bidang perakaunan, Project Management Professional (PMP) kini mencatat 384 penyertaan, manakala program baharu se­perti SAP Certified Associate dan Chartered Financial Analyst (CFA) turut mencatatkan lebih 150 permohonan hanya dalam tempoh sebulan.

Apakah sasaran YP menje­lang 2030?
Pada tahun 2020, kami hanya ada 150 pelajar perakaunan, tahun ini bertambah kepada 1,500 pelajar, jadi pada tahun 2023, sasaran kami adalah 5,000 setahun. Hari ini, alumni kami sekitar 75,000 hingga 80,000 orang. Menjelang 2030, ia akan mencecah 200,000 orang. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |