KUALA LUMPUR – Walaupun sudah berusia 50 tahun, namun ia langsung tidak menjadi penghalang buat peserta dari Sepanyol, Gabriel Lazaro ketika memenangi acara triathlon jarak Olimpik pada Festival Endurance Antarabangsa Melaka 2025.
Pada acara yang berlangsung di Encore Melaka, Klebang semalam, dia yang bekerja sebagai eksekutif agensi insurans di Singapura muncul juara menerusi catatan masa 2 jam 22 minit 47 saat (s).
Lazaro menunjukkan keazaman cukup tinggi bagi menamatkan acara triathlon meliputi disiplin renang dengan jarak 1.5 kilometer (km), berbasikal (40km) dan larian (10km).
“Ini perlumbaan pertama saya di Melaka dan saya melakukannya di depan isteri serta dua anak lelaki. Ia merupakan satu detik yang sangat bermakna,” kata Lazaro yang sudah terbabit dalam sukan ekstrem itu selama 20 tahun.
Dia juga dijadualkan menyertai Kejohanan Dunia Ironman 70.3 yang akan berlangsung di Marbella, Sepanyol pada 9 November nanti selain mahu mengejar impian beraksi di Kejohanan Dunia Ironman di Kona, Hawaii tahun depan.
Sementara itu, tempat kedua menjadi milik peserta tempatan dari Selangor, Faiz Rahim yang mencatat 2’26:52s manakala Goh Guan Xi (2’29:56s) berpuas hati di tempat ketiga.
Faiz berkata, kejayaan menamatkan acara tersebut di tempat kedua membakar semangatnya untuk terus bekerja keras dan memahat nama secara profesional.
“Saya pernah tinggalkan triathlon selepas Covid-19 kerana rasa tidak mampu bersaing tetapi kembali semula tahun ini secara sepenuh masa dengan bantuan penaja. Saya lebih cergas berbanding sebelum ini,” ujarnya.
Bagi kategori wanita pula, gelaran menjadi milik Nami Kanai yang melakukan catatan masa 2’49:51s manakala Adel Zulin Sim (3’13:38s) di tempat kedua diikuti Norazian Manaf (3’23:33s).
Dalam pada itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Shadan Othman menyuarakan rasa bangga apabila penganjuran acara tersebut mendapat penyertaan dari dalam dan luar negara.
“Banyak penyertaan dari luar Melaka, termasuk antarabangsa. Ini membuktikan bahawa acara ini mendapat pengiktirafan dan kita berbangga dapat menganjurkannya,” kata beliau. – KOSMO! ONLINE