PETALING JAYA – Suasana kenduri kahwin di Kampung Sungai Malau Luar, semalam, benar-benar mencuri tumpuan apabila majlis perkahwinan pasangan mempelai, dikenali Nikman dan Anis, diraikan dengan cara yang cukup luar biasa.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook Perak Press, tetamu pulang dengan ‘door gift’ yang unik dan jarang sekali diberikan iaitu anak ayam berwarna-warni, anak itik serta arnab.
Selain itu, majlis kenduri tersebut meriah dengan gotong-royong penduduk kampung dan vendor makanan yang menyediakan 18 lauk utama, 10 lauk sampingan serta 10 jenis minuman.
Antara lauk utamanya ialah ketam masak lemak, siput sedut masak lemak, kambing masak kurma, kambing golek, gulai kepala ikan dan banyak lagi.
Lebih menarik, setiap tetamu yang hadir juga diberikan nombor untuk cabutan bertuah dengan hadiah yang tidak kurang hebatnya, termasuk tiga ekor lembu, 10 ekor kambing, dua buah motosikal, kerusi urut serta hamper.

Kemeriahan majlis ini tular di media sosial, dengan rata-rata netizen kagum melihat cara luar biasa pasangan pengantin meraikan hari bahagia mereka.
Pengguna juga menganggap majlis yang diadakan menghidupkan kembali semangat kenduri kampung yang penuh warna-warni.
“Ini baru betul, orang kaya jamu orang kampung makan mewah. Bukan sekadar buat dekat hotel atau untuk VVIP sahaja,” komen Mohd Helmi.
“Hebat tuan ni. Bukan pasal duit semata-mata, dia hebat dalam nak menguruskan majlis tu sendiri dengan perbelanjaan yang besar, bermacam-macam pihak nak kena berurusan. Semoga dimurahkan rezeki dan diberkati kedua-dua pengantin dan keluarga,” komen Nik Firdaus.
Sementara itu, beberapa orang kampung yang hadir majlis tersebut semalam turut meninggalkan komen memuji serta mendoakan tuan rumah agar dimurahkan rezeki.
“Kami lalu semalam, mmg meriah. Khemah makanan bersusun macam pasar malam. Nampak lah binatang, ingat nak buat pameran. Rupanya untuk tetamu. Dahsyat betul,” komen Faryan Chah.
“Terima kasih tuan rumah jemput kami sekeluarga semalam. Semoga murah rezeki. Jarang orang kaya buat kenduri jamu orang kampung. Sesak macam karnival,” komen Faez Fazlin. – KOSMO! ONLINE