‘Untuk keluarga bekas isteri pun kami selalu doakan’

8 hours ago 5

PETALING JAYA – “Kami kawan-kawan Amira Othman tidak pernah bercerita perkara bukan-bukan tentang orang lain.”

Demikian yang dikongsi bekas penyanyi yang juga rakan Amira iaitu Salimah Habibi tentang hubungan persahabatan mereka.

Menurut Salimah, mereka juga sentiasa berharap diberikan kehidupan terbaik bahkan turut mendoakan buat keluarga Fazura yang juga bekas isteri Fattah Amin.

“Sentiasa doa dan minta Allah mudahkan urusan, untuk keluarga bekas isteri pun selalu kami doakan.

“Sebab kita semua hamba Allah SWT, ujian buat netizen kali ini cukup hebat,” katanya dalam platform Threads hari ini.

Tambahnya, terlalu ramai menabur perkara tidak benar dan sanggup mereka cerita sehingga boleh mencetuskan permusuhan.

“Ramai membuat fitnah dan cerita rekaan versi sendiri serta melaga-lagakan. Jangan, kita mohon kebaikan untuk semua.

“Kita minta Allah jaga dan berikan terbaik kepada semua kerana kita sentiasa tidak tahu tetapi Dia Maha Mengetahui.

“Mana yang sudah terlepas, istighfar, doa yang baik-baik,” katanya yang juga bekas bintang Akademi Fantasia.

Dalam perkongsian berbeza, dia juga sempat berkongsi momen ketika anak kepada Fattah Amin iaitu Nur Fatima Aisya yang dilihat tidak berenggang dengan bapanya sehingga dibawa naik ke pelamin.

“Mula-mula Fatima macam terkejut kerana ramai orang, kemudian semua melihat dia ketika di atas pelamin. Amira sentiasa ‘cool’, tak memaksa untuk pujuk.

“Orang yang sudah biasa dengan budak sahaja tahu bagaimana mengendalikan situasi sebegitu. Sehinggalah Fatima selesa, dia terus beraksi comel di atas pentas.

“Tahniah buat Fattah dan Fazura yang telah mendidik anak sebaik-baiknya. Semoga membesar sebagai anak solehah.

“Fatima selepas ini semakin ramai sayang, insya-Allah,” ujarnya lagi.

Semalam, dengan sekali lafaz, Fattah dan Amira selamat bergelar suami isteri dalam sebuah majlis yang diadakan di sebuah resort di Sepang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |