KAJANG – Selisih faham dan rasa tidak puas hati menjadi punca seorang lelaki diserang rakannya sendiri sehingga meragut nyawa dalam kejadian di kawasan rumah kedai dekat Semenyih, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang lelaki berusia 37 tahun kira-kira pukul 1.13 pagi.
Menurut Naazron, pengadu yang bekerja sebagai pemandu lori menyatakan berlaku selisih faham antara rakannya ketika sedang minum minuman keras di kawasan padang di sebuah taman perumahan di Semenyih.
“Kejadian itu menyebabkan jari pengadu cedera akibat terkena senjata tajam. Kesemua lima individu yang berada di lokasi telah beredar dari tempat kejadian.
“Bagaimanapun, sekitar pukul 4.30 pagi hari sama, beberapa individu lain yang tidak berpuas hati telah ke kawasan deretan rumah kedai di kawasan Semenyih, lokasi tempat tinggal rakan yang mencederakan pengadu,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Naazron berkata, ketika di lokasi, seorang lelaki berusia 38 tahun telah diserang salah seorang rakan pengadu dengan menggunakan senjata tajam sehingga mengakibatkan kecederaan pada bahagian tangan dan badan mangsa.
“Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital dengan bantuan rakan-rakan sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.
“Bedah siasat akan dijalankan pada pukul 9 pagi nanti di Unit Forensik Hospital Kajang bagi mengetahui punca kematian,” ujarnya.
Katanya, lima lelaki berusia antara 31 hingga 37 tahun dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut telah ditahan bersama beberapa barang rampasan.
Naazron berkata, permohonan reman ke atas kesemua suspek akan dijalankan esok bagi membantu siasatan.
“Semakan lanjut mendapati empat suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah manakala mangsa mempunyai tujuh rekod jenayah. Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Ong Eng Yew di talian 012-6966849. – KOSMO! ONLINE