PM interim Nepal berjanji penuhi tuntutan Gen Z  

3 hours ago 1

KATHMANDU – Pemimpin baharu Nepal, Sushila Karki berjanji akan memenuhi tuntutan penunjuk perasaan untuk ‘menghapuskan rasuah’ ketika beliau memulakan tugas sebagai perdana menteri interim selepas demonstrasi generasi Z (Gen Z) menumbangkan kerajaan terdahulu.

Sushila, 73, yang merupakan bekas ketua hakim Nepal, ditugaskan untuk memulihkan ketenteraman dan menangani tuntutan penunjuk perasaan untuk masa depan bebas rasuah menjelang pilihan raya umum enam bulan lagi.

Bantahan yang berpunca daripada larangan media sosial di samping masalah kegawatan ekonomi, rasuah dan amalan kronisme itu bermula pada Isnin lalu. Protes dengan cepat bertukar ganas dengan penunjuk perasaan membakar Parlimen dan bangunan kerajaan utama lain.

“Kita perlu bekerja mengikut pemikiran Gen Z,” kata Sushila dalam kenyataan awam pertama sejak beliau memegang jawatan pada Jumaat lepas.

Satu perlima penduduk Nepal yang berumur 15 hingga 24 tahun kini menganggur, demikian menurut Bank Dunia, manakala keluaran dalam negara kasar (KDNK) perkapita di negara Banjaran Himalaya itu cuma AS$1,447 (RM,6084). Nepal mempunyai 30 juta penduduk.

“Apa yang dituntut oleh kumpulan ini adalah penghapusan rasuah, tadbir urus yang baik dan kesaksamaan ekonomi,”  tambahnya.

Sushila bertafakur satu minit semalam bagi memperingati mereka yang terbunuh dalam tunjuk perasaan sebelum memulakan mesyuarat di kompleks kerajaan utama Singha Durbar.

Sekurang-kurangnya 72 orang terbunuh dalam protes dua hari itu dan 191 yang lain cedera, kata ketua setiausaha kerajaan Eaknarayan Aryal, meningkat berbanding angka korban sebelumnya seramai 51 orang.

Ia adalah kekacauan terburuk sejak perang saudara selama sedekad berakhir dan pemerintahan monarki tamat pada tahun 2008.

Pelantikan Sushila berlaku selepas rundingan sengit melibatkan ketua tentera, Jeneral Ashok Raj Sigdel dan Presiden Ram Chandra Paudel dengan wakil-wakil Gen Z.

Beribu-ribu aktivis muda mencadangkan Sushila sebagai pemimpin pilihan mereka.

Parlimen telah dibubarkan dan pilihan raya umum ditetapkan pada 5 Mac 2026

Gen Z merujuk kepada mereka yang lahir antara tahun 1997 hingga 2012. – AFP

Read Entire Article
Pertanian | | | |