PETALING JAYA – Dikecam mengendalikan majlis pernikahan pasangan selebriti Fattah Amin dan Amira Othman secara tidak formal, penyampai radio Era FM, Raden menerima kritikan dengan terbuka selain menganggap perkara tersebut sebagai pembelajaran pada masa akan datang.
Kata Radin atau nama lengkapnya Radin Amir Affendy Ahmad Aruani, 35, gaya pengacaraan yang santai pada acara tersebut mengikut kehendak pengantin sendiri.
“Berhubung teguran dan nasihat yang membina dalam laman sosial berkaitan cara saya menjadi pengemudi majlis pernikahan Fattah Amin dan Amira Othman yang berlangsung semalam, saya terima dan ambil sebagai satu pembelajaran untuk penambahbaikan dan ilmu pada masa akan datang.
“Secara jujurnya, saya menjalankan tugasan saya seperti yang diminta pihak pengantin. Mengemudi acara bersejarah tersebut secara santai dan tidak terlalu formal.
“Memandangkan acara pernikahan tersebut merupakan hari penting dan istimewa buat pasangan mempelai dan keluarga, semua dikendalikan mengikut kehendak pengantin dan seperti yang dirancang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Pada masa sama, Radin menghargai setiap komen dan mengganggap teguran sebagai tanda keprihatinan terhadap kerjayanya.
‘Namun, apa sahaja nasihat saya terima, anggap sebagai terguran yang sangat membina.
“Ini juga sebuah bentuk kasih sayang dan keprihatinan semua pihak terhadap kerjaya saya selama ini.
“Semoga kita semua menjadi lebih baik pada masa hadapan dengan segala teguran dan nasihat yang membina dan beradab,” ujarnya.
Dalam kesempatan itu, Radin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Fattah dan Amira yang kini sah bergelar suami isteri serta berterima kasih kerana mempercayainya sebagai pengacara majlis.
“Saya juga mengucapkan tahniah buat pasangan pengantin dan berterima kasih kerana mempercayai saya dalam mengemudi majlis penting dalam kehidupan mereka,” tuturnya.
Semalam, Radin teruk dikecam dalam aplikasi Threads kerana menganggap tidak profesional sepanjang mengendalikan majlis pernikahan pasangan tersebut.
Fattah dan Amira sah bergelar isteri dengan sekali lafaz pukul 9.08 malam selepas mereka dinikahkan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. -KOSMO! ONLINE