70 juta tanda suka ‘live’ di TikTok, Fattah, Amira dah mula kerja

7 hours ago 6

PETALING JAYA – Baru 24 jam berstatus suami isteri, pasangan selebriti popular, Fattah Amin, 35, dan Amira Othman, 32, sekali lagi mencuri tumpuan apabila sesi siaran langsung mereka di TikTok mencatat hampir 70 juta tanda suka serta lebih 150,000 tontonan setakat pukul 11 malam tadi.

Lebih menarik, mereka kelihatan mesra berpegangan tangan sambil melayan komen peminat yang membanjiri ruangan siaran langsung tersebut.

Amira membuat siaran langsung itu melalui akaun TikToknya sambil mempromosikan produk kecantikan dan minuman bersama suami tercinta di atas pelamin.

Ketika bersiaran langsung, baik Fattah mahupun Amira masing-masing berkata, mereka tidak bercinta sebelum kahwin kerana lebih percaya perihal itu lebih indah dipupuk selepas bernikah.

“Siapa jatuh cinta dulu? Tiada istilah itu untuk kami sebab kami bercinta lepas kahwin, itu lebih indah.

“Tapi, selalu kami kerja sama, itu yang senang kami get along (bersama). Go with the flow,” ujar Fattah.

Pelantun lagu Wanita Terakhir itu turut menyifatkan Amira seorang wanita sangat tenang berdepan apa jua situasi.

“Kalau Amira marah, dia tak marah-marah, dia akan diam. Tapi senang nak pujuk,” katanya.

Ketika siaran langsung itu, Amira turut mencuba dan meletakkan serum pada bahagian atas tangan Fattah.

Rata-rata peminat memuji kemanisan pasangan baharu itu yang bukan sahaja mesra, malah mengucapkan selamat pengantin baharu kepada pasangan popular terbabit.

Lebih manis, pasangan itu sempat saling berpandangan selepas peminat di ruangan komen mengusik wajah mereka yang dikatakan seiras.

Fattah kemudiannya menerima kejutan apabila diberi kek dua tingkat sempena ulang tahun kelahirannya yang diraikan ketika siaran langsung berlangsung.

Fattah dan Amira kemudian bersama-sama memotong kek sebelum Amira menyuap kek ke mulut Fattah.

Semalam, pelakon popular itu sah bergelar suami kepada Amira dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung penuh indah di Golden Palm Tree Resort, Sepang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |