‘Tak cukup Malaysian’ – Lelaki Kadazan didiskriminasi ketika cari bilik sewa

5 hours ago 2

PETALING JAYA – Seorang lelaki etnik Kadazan mendakwa ditolak mentah-mentah ketika mahu menyewa bilik hanya kerana dia berasal dari Sabah dengan alasan tidak mencukupi syarat sebagai rakyat Malaysia.

Isu itu menjadi tular selepas lelaki dikenali sebagai Kinney JR membuat perkongsian tangkap layar perbualan bersama seorang ejen di aplikasi Threads.

“Masa saya tengah cari bilik sewa, benda ini pun jadi. Kak, baik pergi sekolah belajar semula subjek Sejarab!,” katanya.

Insiden itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang turut berkongsi pengalaman serupa. Tidak kurang ada yang mengecam sikap prejudis segelintir masyarakat terhadap warga Sabah dan Sarawak.

Setakat pagi ini, perkongsian tersebut meraih lebih 1,800 reaksi dan 322 komen.

“Saya ada pengalaman begini di Kuala Lumpur. ‘First time’ (kali pertama) tu ex-boss saya tanya, sebab saya mahu mohon cuti balik Sabah ‘when are you come back to Malaysia?’

“Hah Malaysia? Sabah bukan Malaysia? Kenapa dia tanya begitu?,” kongsi Nina Poit.

“Saya Sarawakian (orang Sarawak). Dulu nak buka akaun (bank) di Selangor sampai staf kena tanya ‘manager’. Dia siap tanya pasport lepas itu nak tanya ‘manager’ orang bukan Malaysia boleh buka akaun ke tak. Speechless’ aku,” kata Bunga Persik Cinta.

Di ruangan komen, ramai pengguna dari Semenanjung turut bersolidariti dan memohon maaf bagi pihak segelintir individu yang cetek ilmu Geografi dan gagal memahami semangat Persekutuan Malaysia.

“Saya pernah mengalami situasi sama di Semenanjung Malaysia. Saya tertanya-tanya sama ada buku teks dan silibus kita sama atau tidak. Datang dari bandar kecil, saya tak sangka orang bandar boleh cetek pengetahuan am,” ujar Zaza Szai.

Ramai menyeru supaya kerajaan, institusi pendidikan, serta pihak swasta memperbetulkan naratif dan pendidikan geografi asas agar diskriminasi sebegini tidak berulang bukan sekadar di media sosial, tetapi dalam kehidupan sebenar. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |