Swallow bina jenama di Malaysia

15 hours ago 8

PT Industri Karet Deli, pengeluar tayar terkemuka yang berpangkalan di Indonesia meluaskan pengembangan pasarannya di persada antarabangsa telah menjalin kerjasamanya dengan sebuah syarikat di Malaysia iaitu Global Pacific-Manufacturing (GMP) untuk memasarkan produk keluarannya melalui jenama Swallow.

Sepanjang dua tahun kerjasama tersebut, PT Industri Karet Deli telah melancarkan pelbagai jenis produk tayar terbaharu di Malaysia untuk memenuhi keperluan pelanggan.

Melalui kajian dan pembangunan yang teliti, produk keluaran syarikat itu memiliki ciri-ciri dan kualiti yang sentiasa dipertingkatkan bersandarkan permintaan yang diterima daripada pelanggannya.

Demi melakukan yang terbaik dalam pasaran Malaysia yang dianggapnya sebagai antara negara utama dan terbesar, GMP dilantik sebagai pengedar tunggalnya sekali gus membolehkan mereka membina empayar kukuh di negara ini sehingga kini syarikat memiliki lapan ejen di seluruh negara.

Ketua Pembangunan Jualan Global PT Industri Kalet Deli, Riang Matio berkata, tayar terbaharu keluaran syarikat itu diramal mendapat sambutan baik dengan sasaran jualan tumbuh sebanyak 10 peratus.

“Kami mahu pantau dan lihat dulu perkembangan produk baharu ini di Malaysia tetapi kami yakin ia akan mendapat sambutan baik kerana ia memiliki ciri-ciri tayar yang berinovatif dan dijual pada harga mampu milik.

“Dua model tayar ini lahir daripada hasil penyelidikan mendalam, pemahaman serantau dan kejuruteraan yang berfokus kepada penunggang.

“Tayar SB171 Grip Pro XP dan SB170 Power Storm XP dibangunkan untuk memenuhi cabaran harian penunggang motosikal Malaysia sambil menawarkan prestasi dan keselamatan yang sewajarnya,” kata beliau selepas majlis pelancaran di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh jelaskan secara umum tentang jenama Swallow dan juga syarikat PT Industri Karet Deli serta jualan produk di Malaysia?
RIANG: PT Industri Karet Deli telah ditubuhkan sejak tahun 1956 dan ia merupakan pengeluar pelbagai produk daripada tayar basikal dan motosikal hinggalah tayar industri, pertanian, lori dan bas.

Kami memiliki kilang di Me­dan dan turut memiliki rangkaian pengedaran di le­bih 50 negara.

Swallow pula adalah jenama tayar motosikal daripada kilang kami. Swallow memenuhi keperluan pelbagai jenis motosikal dan turut menawarkan pilihan tayar tubeless untuk kemudahan tambahan.

Jenama ini boleh didapati secara meluas di Malaysia melalui pengedar sah dan platform e-dagang utama seperti Sho­pee.

Dengan jangka hayat tayar sekitar tiga tahun dan tempoh penggunaan antara lima hingga sepuluh tahun bergantung kepada keadaan, Swallow terus menawarkan tayar yang boleh dipercayai dan ber­prestasi tinggi kepada penunggang di rantau
ini.

Apa kaitan syarikat dengan GMP dan sudah berapa lama kedua-dua syarikat ini bekerjasama dalam industri ini?
GMP adalah peneraju dalam industri die-casting aluminium yang menawarkan ­penyelesaian kejuruteraan berketepatan tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa sejak tahun 2005.

Syarikat ini mengkhususkan kepada pengeluaran komponen berkualiti tinggi untuk motosikal, perkakasan, lampu dan aksesori perabot. GMP adalah pengedar tunggal tayar bagi Swallow di Malaysia sejak dua tahun lalu.

Sepanjang tempoh tersebut, hubu­ngan perniagaan kami amat baik dan menggalakkan. GMP te­lah ­menyokong penjualan produk dari kilang kami di Indonesia ke pasaran Malaysia. Kami berpuas hati dengan pencapaian tersebut sehingga kini.

Melalui GMP, terdapat lapan pengedar di seluruh negara yang turut menyokong jualan
syarikat.

Boleh jelaskan perkembangan eksport produk tayar ke Malaysia?
Kami sudah mengeksport tayar ke 50 buah negara dan Malaysia adalah salah satu pasaran penting buat kami dan ia tersenarai dalam lima negara utama pengeksport terbesar buat syarikat.

Pasaran utama yang besar selain Malaysia adalah Filipina, Eropah, Korea Selatan dan Taiwan. Kami mahu menambah lagi pe­nguasaan pasaran eksport kami di Malaysia pada masa depan dan kami yakin ang­ka itu akan terus bertambah sei­ring dengan perancangan kami yang aktif untuk mengukuhkan kedudukan pasaran kami di negara ini.

Apakah program terbaharu PT Industri Karet Deli bersama GMP baru-baru ini. Boleh jelaskan tentang produk yang dilancarkan itu?
Kami melancarkan dua mo­del tayar motosikal berprestasi tinggi terbaharu di Malaysia iaitu SB171 Grip Pro XP dan SB170 Power Storm XP.

Kedua tayar ini direka khusus untuk penunggang motosikal tempatan yang mana ia menjanjikan kawalan, keselamatan dan ketahanan luar biasa di atas jalan raya sama ada dalam keadaan kering mahupun ketika hujan lebat secara tiba-tiba.

Kedua-dua model tayar ini telah melepasi piawaian antarabangsa yang ketat dan memperoleh pensijilan daripada pelbagai institusi termasuk SIRIM QAS (Malaysia), ECE Approval Mark (E4 – Eropah), Japanese Industrial Standard (JIS), TÜV Rheinland (Jerman), Department of Transportation (Amerika Syarikat), IMMETRO (Brazil) serta organisasi piawaian kebangsaan di Indonesia (SNI) dan Filipina.

Pensijilan ini mencerminkan komitmen Swallow dalam menghasilkan tayar yang boleh dipercayai dan bersedia digunakan di jalan raya, bukan sahaja untuk penunggang Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Boleh jelaskan tentang kelebihan tayar baharu itu kepada pengguna di Malaysia?
SB171 Grip Pro XP adalah tayar yang dioptimumkan untuk permukaan kering dan dibangunkan khusus untuk keperluan penunggang motosikal, skuter dan kapcai.

Menggunakan teknologi sebatian silika lanjutan, tayar ini menawarkan peningkatan cengkaman sebanyak 33 peratus berbanding model terdahulu, serta jangka hayat sehingga 29 peratus lebih lama hasil reka bentuk bunga tayar yang diperhalusi.

Dwi-sebatian DuoGrip memberikan cengkaman kering dan kestabilan jalan yang lebih baik, manakala corak bunga baharu memastikan kawalan yang tepat, termasuk ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi. SB171 ditawarkan dalam 21 saiz bermula dari 13 hingga 17 inci, menjadikannya sesuai untuk pelbagai jenis motosikal.

Selain itu, bagi SB170 Power Storm XP, ia adalah tayar berpadanan yang sesuai dengan semua cuaca dan direka untuk prestasi konsisten dalam ketidaktentuan iklim Malaysia.

Tayar ini menggunakan sebatian HydroGrip (HGC) untuk peningkatan cengkaman permukaan ­basah sebanyak 13 peratus, dinding sisi yang diperkuat bagi memberi kestabilan selekoh 15 peratus lebih baik dan reka bentuk yang mampu meningkatkan jarak perjalanan sebanyak 13 peratus.

Penunggang turut akan menikmati tunggangan yang lebih selesa dengan pengurangan getaran sebanyak 12 peratus melalui reka bentuk bunga tayar baharu. SB170 Power Storm XP ditawarkan dalam 22 saiz termasuk 13, 14, 15 dan 17 inci.

Bagaimana harga jualannya di Malaysia?
Swallow mementingkan pengeluaran produk yang memiliki tahap keselamatan yang tinggi dengan ketahanan tanpa menjejaskan harganya, sekali gus, ia dijual pada harga mampu milik oleh pengguna di Malaysia.

Kami mereka bentuk tayar SB171 Grip Pro XP dan SB170 Power Storm XP dengan kerjasama rapat pa­sukan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Reka bentuk­nya mencerminkan pengalaman bertahun-tahun dalam industri pembuatan tayar dengan tumpuan khusus pada formulasi sebatian, kejuruteraan pembinaan dan inovasi reka bentuk bunga tayar dalaman. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |