Presiden Maldives diberi sambutan rasmi negara di Perdana Putra

14 hours ago 9

PUTRAJAYA- Presiden Maldives, Dr. Mohamed Muizzu diberi sambutan rasmi negara dalam lawatan sulung beliau ke Malaysia dalam satu majlis di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan beliau pada pukul 9 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Dr. Muizzu kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan daripada 102 anggota dan tiga pegawai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Menurut Wisma Putra, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu-isu hubungan dua hala serta peluang kerjasama antara Malaysia dan Maldives, khususnya dalam sektor perdagangan dan pelaburan selain industri halal, pendidikan, pelancongan serta belia dan sukan.

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan majlis pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu MoU mengenai Kerjasama dalam bidang Pelancongan, MoU dalam bidang sukan dan MoU bidang kesihatan.

“Selain itu, pertukaran dua dokumen Pertukaran Nota (EoN) akan turut disaksikan oleh kedua-dua pemimpin melibatkan bidang Latihan Diplomatik dan penubuhan Konsultasi Dua Hala antara Malaysia dan Maldives,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri akan menghoskan Majlis Jamuan Makan Tengah Hari Rasmi bagi meraikan Dr. Muizzu di Kompleks Seri Perdana.

Dr. Muizzu juga akan dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Kepimpinan Islam dan Pembangunan Madani oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), esok.

Penganugerahan ijazah kehormat ini akan disempurnakan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku Ketua Perlembagaan UIAM.

Pada tahun lalu, jumlah dagangan Malaysia dan Maldives mencatatkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus kepada RM862.7 juta (AS$189 juta), berbanding RM827.3 juta (AS$180.9 juta) pada tahun 2023.

Maldives merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |