Piala Malaysia: Sri Pahang kecewa VAR gagal main peranan

15 hours ago 8

PENGENDALI Sri Pahang, Fandi Ahmad mengakui kesal dengan penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang dilihat tidak banyak membantu selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia kelmarin.

Menurut Fandi, tiada apa yang boleh dikatakan mengenai mutu pengadilan di atas padang, tetapi VAR sepatutnya boleh membantu memulihkan semula tempo perlawanan yang berintensiti tinggi melibatkan kedua-dua pasukan.

“Bagi saya, VAR satu kekecewaan kerana tiada siapa tahu apa yang berlaku, hanya orang di dalam (yang tahu), kami tidak boleh kata baik atau buruk, adil atau tidak.

“Saya rasa anda semua tahu, tetapi apa yang boleh kami katakan?” kata pengendali dari Singapura itu yang enggan mengulas mutu pengadilan secara terperinci pada sidang media selepas perlawanan kelmarin.

Pada perlawanan itu, beberapa insiden tidak memihak kepada Sri Pahang ketika pemain naturalisasi, Sergio Aguero dilayangkan dua kad kuning selain sepakan penalti dihadiahkan buat pasukan JDT pada awal babak kedua.

Namun, VAR dilihat turut membantu skuad Tok Gajah apabila membatalkan jaringan penyamaan yang dilakukan oleh penyerang JDT, Bergson da Silva yang berada dalam kedudukan ofsaid.

Mengulas lanjut, Fandi mengakui kejayaan pasukan ke pentas final Piala Malaysia kali ini adalah ‘bonus’ dengan menganggap aksi separuh akhir bertemu Sabah FC pada Februari lepas sebagai ujian sebenar.

“Pasukan sangat komited untuk perlawanan ini kerana sedar kita tidak konsisten dalam Liga Super. Banyak pelbagai perkara berlaku (di luar padang) dan sangat sukar untuk memotivasikan pemain, tetapi mereka berjuang untuk piala ini dan berjaya ke final.

“Secara peribadi, perlawanan separuh akhir menentang Sabah FC merupakan final sebenar dan aksi kali ini pula satu bonus,” katanya.

Pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad Tok Gajah mencipta kejutan apabila meraih gol pembukaan hasil penyudah T. Saravanan sebelum JDT bangkit untuk melakar kemenangan hasil sepakan penalti Bergson dan rembatan Arif Aiman Hanapi.

Sementara itu, tonggak pertahanan Sri Pahang, Adam Nor Azlin mengakui terkilan apabila gagal membawa pulang trofi ke bumi Tok Gajah meskipun menganggap pencapaian pasukan musim ini masih membanggakan.

“Biarpun tewas kami rasa sampai ke final pun sudah satu kemenangan. Penyokong boleh nilai sendiri apa yang terjadi (Mengenai kontroversi pengadil), tetapi sebagai pemain kita kena fokus di atas padang dan nasib tidak bersama pasukan kali ini,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |