Piala Malaysia: FAM perlu ada alasan kukuh

16 hours ago 8

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memberikan alasan yang kukuh atas pelantikan pengadil, Razlan Joffri Ali yang dilihat tidak memiliki kredibiliti yang memuaskan ketika mengadili aksi final Piala Malaysia kelmarin.

Pada perlawanan final melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang itu, Razlan telah melayangkan dua kad kuning pada separuh masa pertama ke atas pemain Tok Gajah, Sergio Aguero sehingga menyaksikan pemain naturalisasi itu diarahkan keluar padang pada minit ke-35.

Lebih malang buat Tok Gajah, Razlan turut menghadiahkan sepakan penalti buat JDT pada awal babak kedua selepas meneliti sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) sebelum melayangkan kad merah kepada pertahanan JDT, Park Jun-heong.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli mengakui ini adalah kesilapan yang berulang oleh badan induk bola sepak negara itu selepas terpalit kontroversi yang sama pada final Piala Malaysia edisi 2023 ketika itu perlawanan diadili, S. Logeswaran.

Kata Pekan, pemilihan pengadil merupakan tanggungjawab FAM dan pemilihan Razlan dilihat tidak sesuai memandangkan kredibilitinya sudah terjejas selepas direhatkan daripada saingan Liga Malaysia pada awal musim ini.

“Sekali lagi pengadil menjadi isu dalam final Piala Malaysia dan mungkin FAM perlu bertangunggjawab dan memberikan justifikasi yang jelas kenapa mereka tidak melantik pengadil yang memiliki integriti dan kredibiliti lebih baik.

“Pemilihan pengadil (Razlan) wajar dipersoal kerana reputasinya sudah tercalar apabila direhatkan pada awal musim ini selain sering terlibat dengan kontroversi pada perlawanan-perlawanan tertentu.

“Sepatutnya aksi final perlu diadili oleh pengadil mengikut merit sepanjang musim ini sebagai tanda penghargaan buat mereka dan bukan diberikan kepada pengadil yang banyak kontroversi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, Razlan sebelum ini telah direhatkan FAM ekoran gagal mengawal perlawanan JDT menentang Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim, Oktober lepas dengan baik dengan insiden pergaduhan atas padang melibatkan Arif Aiman Hanapi dan Tommy Mawat Bada.

Sementara itu, Pekan percaya solusi yang boleh dibuat FAM pada masa akan datang adalah memanggil unit penilai pengadil daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) atau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk hadir menilai prestasi secara langsung di pentas final.

“Saya rasa pemilihan pengadil luar negara untuk mengadili pentas final juga tidak memberi sebarang makna. Malah, penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) juga dilihat tidak banyak membantu kerana segala keputusan masih bergantung kepada pengadil utama di atas padang.

“Justeru, antara solusi terbaik adalah memanggil penilai pengadil daripada AFC dan FIFA supaya pengadil-pengadil ini lebih telus. Jika ada kontroversi, mungkin lencana mereka untuk adili aksi antarabangsa boleh ditarik semula,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |