PUTRAJAYA – Peguam Negara (AG) berjaya mendapat kebenaran di Mahkamah Persekutuan di sini untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar Titah Adendum.
Keputusan sebulat suara itu dibuat Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama hakim Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
“Selepas membaca dengan teliti hujahan dan segala nas dan prinsip undang-undang, kami sebulat suara mendapati permohonan (Peguam Negara) berjaya melepasi peruntukan yang ditetapkan. Kami mendapati isu yang ditimbulkan ada sesuatu yang baharu dan sesuatu yang menyentuh kepentingan awam serta perlu didengar dan diputuskan oleh mahkamah,” kata Hakim Hasnah.
Dengan keputusan itu, Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar dibenarkan merayu dengan mahkamah bakal mendengar persoalan undang-undang yang akan dihujahkan pada satu tarikh yang lazimnya ditetapkan kemudian.
Sebelum ini Peguam Negara memohon kebenaran merayu untuk mengetepikan keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum ke Mahkamah Tinggi.
Mohd. Dusuki telah mengemukakan tujuh persoalan undang-undang yang mana ia menyentuh isu kepentingan awam yang belum pernah didengar dan diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara.
Terdahulu pada 24 Mac lalu, panel hakim Mahkamah Persekutuan telah selesai mendengar hujahan Mohd. Dusuki dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.
Mohd. Dusuki dalam hujahnya berkata, antara persoalan itu ialah sama ada bukti baharu atau tambahan yang akan mempunyai kesan undang-undang secara langsung atau tidak langsung, boleh dikemukakan dalam semakan kehakiman.
Persoalan lain, pada peringkat kebenaran semakan kehakiman, sama ada beban pembuktian mengenai kewujudan bukti baharu atau tambahan yang dipertikaikan, terletak atas kapasiti Peguam Negara.
Ia termasuk sama ada Peguam Negara pada peringkat kebenaran semakan kehakiman, memikul tanggungjawab undang-undang mengesahkan kewujudan dan menyediakan salinan dokumen yang dipertikaikan.
Sementara itu, Muhammad Shafee yang mewakili Najib berhujah, permohonan kebenaran merayu wajar ditolak kerana persoalan undang-undang yang dikemukakan kini akademik kerana Mahkamah Rayuan sudah memutuskan Titah Adendum wujud.
Hujah beliau, anak guamnya bukan mencabar keputusan Lembaga Pengampunan kerana tahanan rumah bukan diputuskan oleh lembaga berkenaan sebaliknya titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, sebelum beliau merayu keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah khabar angin serta tidak boleh diterima sebagai bukti.
Kemudian pada 6 Januari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di sini dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan permohonan Najib untuk mencabar kewujudan Titah Adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.
Najib memfailkan semakan kehakiman dalam usaha memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah agar kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh YDPA ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen. – KOSMO! ONLINE