‘Lembu pun tahu berhenti’

4 hours ago 2

PETALING JAYA – “Kalau lembu pun boleh tunggu untuk melintas, takkan bas ekspres tak boleh brek?”.

Itulah persoalan netizen selepas tular satu video kejadian di laluan sempit Kuala Krai-Gua Musang, awal pagi tadi, apabila sebuah bas ekspres dilihat memotong garisan berkembar secara melulu sebelum merempuh beberapa ekor lembu yang sedang melintas jalan.

Menerusi perkongsian di Facebook Abdul Qayyum Hadi, dia meluahkan rasa geram terhadap sikap tidak bertanggungjawab pemandu bas yang nyaris menyebabkan kemalangan besar.

“Situasi genting yang kami alami. Fikiran terus melayang kepada kejadian lori melanggar anak gajah. Geram sungguh dengan pemandu bas ini. Jalan kecil begini nak memotong juga.

“Padahal jalan dah sesak dari awal lagi, bukannya boleh nak cepat pun. Dia mungkin terselamat, kami ini pemandu kecil mungkin berisiko tinggi kalau-kalau ada lembu tercampak depan kereta kami. Serabut betul tadi nak ‘handle’ situasi kiri kanan depan belakang,” katanya.

Menerusi rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi 29 saat, kelihatan sebuah kereta berhenti bagi memberi laluan kepada sekumpulan lembu yang sedang melintas, namun pemandu bas tidak memperlahankan kenderaan sebelum merempuh beberapa ekor lembu.

Situasi itu turut mengundang kemarahan dalam kalangan netizen yang mengecam tindakan pemandu bas serta pihak yang membiarkan haiwan ternakan berkeliaran tanpa kawalan.

“Lembu siapalah yang dibiarkan bebas begitu? Bas pun satu… mungkin tengah kejar trip atau jadual,” komen Abu Al Zahra.

“Buat laporan dan kongsi nombor plat bas tu. Jangan biarkan macam tu je. Semalam pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ramai meninggal dalam ‘eksiden’ bas,” tulis Natasha Amarilis, merujuk kepada kemalangan terkini di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik awal pagi tadi.

“Salah bas, terang-terang potong garisan berkembar,” kata Muhammad Zul Nazmi.

Bagaimanapun, video asal itu telah dipadamkan pemiliknya selepas tular dan sempat dikongsi oleh netizen.

Setakat ini, tiada laporan kemalangan jiwa diterima berkaitan insiden berkenaan namun orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada, khususnya ketika melalui jalan sempit dan gelap pada waktu malam atau awal pagi.– KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |