‘Kau tu lelaki tua, sibuk pegang-pegang, betulkan seluar aku’

1 day ago 8

PETALING JAYA – Penyanyi meningkat naik Rezza Shah mendedahkan dia kini menguruskan kerjaya seninya sendiri tanpa bantuan pengurus selepas serik dianiaya individu terbabit.

Menerusi hantaran dalam Instagram, Rezza atau nama lengkapnya Muhammad Shahrezza Abu Samah, 23, mendakwa bekas pengurusnya seorang yang suka berhutang dan tidak menghormatinya sebagai artis.

“Ya buat masa sekarang saya menang tidak lagi bekerjasama dengan pengurus sebelum ini. Susah bila bekerja dengan pengurus yang berhutang sini sana, tak profesional dan selalu pegang-pegang aku.

“Dia anggap aku ni macam anak dia la, padahal kau nak menggedik. Kau rasa diri kau tu perempuan padahal kau tu lelaki dah tua dan kau sendiri kotorkan nama artis sendiri,” dedahnya.

Tambah bekas peserta Calpis Soda One In A Million itu lagi, bekas pengurusnya turut mengambil wang hasil titik peluhnya sebagai penyanyi.

“Duit bayaran aku pun senyap sahaja bila dah masuk. Takkan duit perkongsian bersama rakan niaga waktu bulan puasa hari tu pun kau nak rembat?

“Aku cuba tahan diri, mental aku dah hampir setahun. Daripada sebelum masuk pertandingan lagi aku dah jadi alat. Akhirnya aku juga yang nampak buruk dan jahat,” tambahnya.

Sementara itu Rezza ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, dia kerugian kira-kira lebih daripada RM20,000 selepas wangnya disonglap sedikit demi sedikit oleh bekas pengurus.

“Dia ada berhutang dengan bos syarikat rakaman tapi dia jual nama saya. Duit hasil penggambaran drama saya dia kebas. Dia gunakan duit itu semua untuk keuntungan dia.

“Paling saya tidak selesa apabila saya sering terkena gangguan seksual olehnya. Saya sering dicium di hadapan orang, dipeluk dari belakang dan dipegang di tempat yang tidak sepatutnya dipegang. Dia selalu nak betulkan seluar saya bila saya bersiap untuk buat persembahan,” luahnya.

Ditanya adakah dia membuat laporan polis terhadap bekas pengurus, kata penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu dia tidak tahu bagaimana mahu bertindak ketika itu kerana terlampau tertekan.

Tambahnya lagi, kini dia hanya mahu fokus kepada kerjaya seni dan tidak lagi mahu ditindas oleh mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya.

“Saya memang tak suka bila kerjaya saya dicampur-adukkan dengan masalah yang tidak sepatutnya seperti ini. Saya ikhlas nak berkarya atas nama dan hati saya sendiri. Jadi sekarang saya memang nak fokus dengan kerja dan hidup baharu. Saya tak mahu lagi ditindas. Saya ada prinsip. Maaf saya terpaksa dedahkan perkara ini sebab saya perlu jaga kesihatan mental saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |