Jonassen gesa pemain rendah diri

16 hours ago 8

MISI skuad negara pada Kejohanan Badminton Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China kini bermula apabila turun menentang Perancis pada aksi sulung Kumpulan C di Gimnasium Fenghuang hari ini.

Walaupun dijangka tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan, namun Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen menggesa anak-anak buahnya supaya kekal merendah diri.

Beliau berkata, perkara paling penting yang perlu diberikan keutamaan adalah pemain-pemain perlu memberikan sepenuh fokus selain mengekalkan kekuatan mental sebelum melangkah masuk ke dalam gelanggang.

“Pertama sekali, apabila bermain dalam acara berpasukan (campuran) seperti ini, semua pemain perlu kekal merendah diri selain berwaspada dengan kemampuan yang dimiliki pasukan lawan.

“Selain itu, mereka juga perlu percaya dengan kemampuan diri sendiri dan memang itu yang paling utama. Semua pemain perlu kekal fokus sebelum perlawanan bermula,” kata pengendali dari Denmark itu.

Malaysia memulakan aksi Kumpulan C dengan menentang Perancis sebelum bertemu Australia esok dan dijadualkan berdepan pilihan ketiga kejohanan yang juga naib juara tiga kali, Jepun pada Khamis nanti.

Tambah Jonassen, persiapan serta latihan pemain-pemain perseorangan termasuk lelaki dan wanita berjalan tanpa sebarang masalah sebaik sahaja mula menjalani sesi uji gelanggang Jumaat lalu.

“Semuanya berlangsung dengan baik dan boleh dikatakan sesi berjalan lancar. Perkara utama adalah kami mahu mendapatkan rentak sebelum memberikan fokus terhadap aksi individu masing-masing,” ujarnya.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan berpasukan campuran itu adalah melangkah ke separuh akhir sebanyak tiga kali, iaitu ketika beraksi pada edisi 2009, 2021 dan 2023. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |