Hidup harus diteruskan, tak lupa mereka di Gaza – Maher Zain

1 day ago 8

PETALING JAYA – Penyanyi kerohanian antarabangsa Maher Zain mengakui tidak pernah berhenti menyuarakan dan memperjuangkan nasib saudara Islam di Palestin.

Maher, 44, memaklumkan akan menggunakan platform media sosial selain menerusi karya-karyanya sebagai tanda solidariti terhadap nasib rakyat Gaza.

“Apabila berada di atas pentas, saya masih berjuang untuk Palestin seperti menyanyikan lagu-lagu Palestin.

“Kehidupan harus diteruskan tetapi tetap tak boleh lupakan mereka yang berada di Gaza.

“Saya akan tetap menggunakan platform saya untuk terus menyuarakan apa yang terjadi di Palestin,“ katanya semasa sidang akhbar Konsert Jelajah Asia Tenggara menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Penyanyi kelahiran Sweden-Lubnan itu turut mengakui tidak dapat membayangkan penyeksaan yang dilalui rakyat Palestin berikutan serangan rejim Zionis.

“Memang tak mudah untuk kita ‘move on’ mengenai situasi mereka lebih-lebih lagi apabila tiada seorang pun dapat bayangkan kesakitan mereka di sana.

“Saya akan sentiasa mengingatkan perkara tersebut (Palestin) dalam lagu-lagu saya menerusi konsert jelajah,” ujarnya yang cukup dikenali menerusi lagu Insya Allah itu.

Dalam perkembangan lain, artis yang terkenal dengan lagu kerohanian itu bakal kembali ke Asia Tenggara dengan siri konsert yang dinanti-nantikan selepas kali terakhir menjejakkan kaki ke sini pada enam tahun lalu.

Konsert Maher Zain bakal berlangsung pada 16 Ogos depan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, diikuti The Star Theatre, Singapura (21 Ogos 2025) dan Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu (23 Ogos 2025).

Jualan tiket akan dibuka pada 12 Jun, pukul 12 tengah hari untuk pra-daftar dan 13 Jun pada masa sama bagi tiket awam melalui laman sesawang www.maherzainseatour.com.

Harga tiket bermula RM158 (CAT6), RM198 (CAT5), RM248 (CAT4), RM298 (CAT3), RM348 (CAT2), RM308 (GOLD), RM408 (CAT1), RM508 (VIP) dan RM988 (VIP SOFA).

Jelajah ini merupakan persembahan pertama Maher Zain di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu selepas pandemik Covid-19. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |