DBKL tutup 14 premis sempena operasi Hari Raya Aidiladha

5 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 premis diarahkan tutup serta-merta atas pelbagai kesalahan serius dalam satu operasi bersepadu sempena Hari Raya Aidiladha yang dilaksanakan selama tiga hari bermula 6 Jun.

Antara kesalahan serius tersebut adalah aktiviti melapah dan menjual daging lembu di lorong belakang premis yang dikendalikan oleh warga asing tanpa kelulusan.

Selain itu, melapah daging di atas lantai yang kotor, serta pembuangan sisa lemak dan darah terus ke dalam sistem saliran awam.

DBKL dalam kenyataannya berkata, operasi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Veterinar dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Menurut DBKL, fokus pemantauan tertumpu kepada kawasan hot spot seperti premis-premis di sepanjang Jalan Silang, Jalan Berangan dan Pusat Perniagaan Bandar Utara yang menjadi tumpuan semasa musim perayaan.

“Operasi ini bertujuan bagi memantau kawasan-kawasan tumpuan aktiviti penyembelihan dan penjualan daging di sekitar ibu negara bagi memastikan kepatuhan terhadap aspek kebersihan, kesihatan awam dan syariah,” katanya.

Tambah DBKL, menerusi operasi itu juga, turut dikesan aktiviti penjualan dan penyembelihan ayam hidup di dalam premis perniagaan yang tidak berlesen dan tidak mematuhi garis panduan kebersihan.

Sementara itu, DBKL berkata sebanyak 240 buah masjid dan surau mengemukakan permohonan kepada Jawi untuk melaksanakan ibadah korban tahun ini.

“Di samping itu, terdapat 11 permohonan untuk penyembelihan di luar premis masjid atau surau, di mana 10 permohonan diluluskan setelah menepati semua syarat ditetapkan.

“DBKL bersama agensi-agensi berkaitan menegaskan komitmen mereka untuk memastikan tahap keselamatan makanan, kesihatan awam serta kebersihan bandar berada pada tahap terbaik sepanjang musim ibadah korban ini.

“Segala usaha ini adalah demi menjamin kesejahteraan dan kebajikan warga kota Kuala Lumpur,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |