Ada mangsa tercampak keluar, ada keluar sendiri dari bas

6 hours ago 2

GERIK – Ada dalam kalangan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Tasik Banding di sini pagi tadi keluar sendiri dari bas dinaiki yang terbabas ke dalam parit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sayani Saidon berkata, bahkan ada juga dalam kalangan mereka yang tercampak keluar akibat kemalangan tersebut sementara mangsa lain masih berada di dalam bas itu.

“Setakat ini seramai 13 mangsa telah disahkan meninggal dunia dan 31 orang cedera (dari bas) dan tiga mangsa mengalami kecederaan ringan.

“Seorang mangsa mengalami patah tangan (dari Perodua Alza) telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, bas yang membawa pelajar UPSI dan Perodua Alza tersebut berasa dalam laluan yang sama iaitu dalam perjalanan dari Jeli, Kelantan ke Gerik.

Sayani berkata, semasa jentera sampai didapati kemalangan melibatkan mangsa seramai 48 orang.

“Ketua operasi melakukan size up dan mengaplikasikan konsep saver dengan mengarahkan anggota membuat pemotongan pada bahagian belakang bas untuk membuat ruang kerja dengan menggunakan peralatan khas hidraulic cutter.

“Apabila ruang kerja berjaya dilakukan didapati terdapat enam mangsa yang masih berada di dalam bas. Dua mangsa cedera parah dan empat mangsa didapati telah meninggal dunia dan tidak tersepit,” katanya.

Beliau berkata, seterusnya tindakan penyelamatan dilakukan oleh bomba dengan menstabilkan mangsa yang cedera dan membawa keluar dari dalam bas dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mangsa-mangsa yang cedera termasuk yang berjaya keluar dengan sendiri telah diberi perawatan awal oleh pihak KKM yang berada di lokasi.

“Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital dengan menggunakan kenderaan Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS), ambulans KKM dan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |