[VIDEO] Kereta remuk kena rempuh, insurans pelaku tamat tempoh

5 hours ago 5

PETALING JAYA – “Berhari-hari saya menangis sampai demam. Dua tahun saya menyimpan nak beli kereta. Siapa je tak sedih, hasil titik peluh sendiri,”

Itulah kata-kata Nurul Asyiqin Nazri, 25, pemilik kereta Perodua Myvi yang dirempuh teruk ketika diletakkan di sebuah parkir di apartmen tempat tinggalnya.

Video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian itu dikongsi Nurul Asyiqin menerusi platform TikTok @syiqin.nzri sehingga mendapat lebih 654,400 tontonan dan 17,800 perkongsian.

Menerusi rakaman CCTV, kelihatan individu tersebut ingin menolak kereta sendiri dipercayai cubaan untuk menghidupkan namun apabila menuruni bukit, lelaki itu tidak sempat masuk ke dalam kereta semula.

Kelihatan di dalam rakaman CCTV seterusnya, Proton Waja itu akhirnya terbabas melanggar kereta Nurul Asyiqin yang diletakkan di tingkat parkir bawah.

Bagaimanapun, wanita itu tetap memilih untuk memaafkan pelaku tersebut walaupun tidak kuat kerana sedar bahawa ini ujian buat dirinya.

“Mestilah saya maafkan. Saya pun kesian juga dengan pak cik tu. Tapi ni ujian kami, Allah dah tentukan ujian masing-masing.

“Ubat dari tenangnya jiwa adalah menerima dan meyakini bahwa takdir Allah itu selalu baik walaupun pahit nak terima. Nampak je kuat tapi Allah je tahu betapa rapuhnya dalam hati ni,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Mengimbas semula, Nurul Asyiqin berkata kejadian berlaku pada 27 Jun lalu kira-kira pukul 11.30 malam di sebuah apartmen terletak di Bukit Raja Klang.

Katanya, dia terkejut apabila pengawal keselamatan tiba-tiba datang memaklumkan keretanya jenis Perodua Myvi dilanggar sebelum bergegas turun ke kawasan parkir apartmen.

“Apabila turun, hanya saya seorang sahaja disitu. Saya terkejut kereta saya dah ‘lunyai’ depan belakang.

“Menggigil saya tengok kereta yang saya jaga, pakai selama tiga tahun, usaha daripada titik peluh saya sendiri kena langgar. Kalau salah sendiri saya boleh terima,” ujarnya.

Selepas itu, katanya dia dan pengawal keselamatan ke rumah pemilik Proton Waja yang melanggar keretanya dan mendapati pelaku lelaki berusia 50-an tersebut merupakan penghuni apartmen terbabit.

“Pak cik tu nampak berdarah sedikit di bahagian tangan dan muka, mungkin kerana tergolek cuba menahan keretanya. Dia (pak cik) beritahu brek kereta dia rosak. Selepas itu kami ke balai polis untuk buat laporan,” katanya.

Lebih malang lagi, ketika ingin membuat tuntutan insurans ke atas kereta pak cik tersebut, polis mendapati cukai jalan serta insurans telah tamat tempoh sejak tahun 2022 lagi.

Tambahnya, tiga hari selepas kejadian, dia pergi ke pejabat pengurusan untuk lihat rakaman CCTV untuk mengetahui insiden sebelum kejadian berlaku.

“Rupa-rupanya bateri pak cik itu rosak, jadi cara dia nak hidupkan keretanya adalah tolak kereta. Tapi dia seorang diri, dan kenapa kena tolak juga dekat curam itu? Tanpa bantuan orang lain, akhirnya dia tak sempat masuk kereta,” katanya.

Sementara itu, Nurul Asyiqin berkata, dia kesal kerana cubaan untuk meminta ganti rugi walaupun secara ansuran daripada lelaki berkenaan gagal ekoran bermacam-macam alasan diberikan.

Katanya, kerana insiden itu, dirinya tidak mempunyai pengangkutan untuk ke tempat kerja dan perlu bergantung kepada pengangkutan awam semata-mata.

“Saya tak tahu nak cakap macam mana lagi. Marah, sedih, kecewa semua ada. Benda boleh elak, tapi sebab mungkin ni ujian Allah nak bagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

@syiqin.nzriSelepas 3 hari kejadian n buat report polis, baru dpt rakaman cctv dari management. Mmg berat ujian kalini. Allah je tahu perasaan ni mcm mana🥹😢

♬ original sound – Syiqin’s

Read Entire Article
Pertanian | | | |