KUALA LUMPUR – Sistem aplikasi i-DATO terus dipertingkat dari aspek keselamatan bagi memastikan ketulenan serta mengekang sebarang cubaan pemalsuan gelaran Datuk.
Pengarah Urusan MYEK Global Sdn. Bhd., Datuk Seri Sabaruddin Ahmad berkata, ia rentetan pihaknya sebelum ini menerima lebih 10 aduan berkaitan dengan pemalsuan kad penama i-DATO.
Menurut beliau, setiap ahli yang mendaftar ke sistem i-DATO akan diberi sijil, kad, pingat serta pelekat kenderaan bagi mengiktiraf penyertaan ahli tersebut ke dalam komuniti itu.
“Sebelum ini kad kita jenis kad biasa seperti kad pengenalan. Banyak kita terima aduan pemalsuan kad tersebut sebab Datuk palsu ni nak dapat manfaat yang sama seperti Datuk sebenar.
“Sebab itu kita telah ubah kad kita menjadi kad seakan kad bank, di belakangnya terdapat kod QR. Jadi apabila peniaga imbas, terus keluar dalam sistem sama ada Datuk sebenar atau tidak,” katanya.
Beliau berkata pada sidang akhbar Majlis Pelancaran dan Pembentangan Ringkas Pembaharuan Sistem i-DATO di sini hari ini.
Tambah Sabaruddin, selain risiko kad penama dipalsukan, beliau berkata ada juga individu tidak bertanggungjawab telah menyalahgunakan format surat i-DATO.
“Pihak tersebut mengeluarkan surat menyatakan i-DATO mengiktiraf pangkatnya sebagai Datuk.
“Ingin saya tegaskan bahawa aplikasi ini hanya mengumpulkan semua Datuk tulen bagi membina satu komuniti yang mampan. Ia tidak menjadi sumber rujukan untuk mengesahkan ketulenan pangkat individu,” katanya.
Sistem i-DATO adalah sebuah platform yang dibangunkan pada 2017 bertujuan untuk menjadi mekanisme bagi mengekang penggunaan gelaran datuk palsu yang semakin berleluasa.
Sehingga kini, lebih 1,000 ahli i-DATO telah mendaftar terdiri daripada semua lapisan Penerima Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Diraja.
Kini, dengan adanya lebih 500 jenama bekerjasama dengan i-DATO, Sabaruddin menjangkakan pendaftaran ahli akan meningkat lebih 500 menjelang hujung tahun ini.
Melalui kolaborasi dengan pelbagai jenama dan peniaga termasuk empat buah negara, setiap ahli dapat menerima pelbagai manfaat seperti tawaran, diskaun serta layanan istimewa menerusi aplikasi ini.
Sabaruddin berkata penambahbaikan yang dilaksanakan ini sekali gus dapat membanteras cubaan Datuk palsu untuk menembusi aplikasi i-DATO.
Mengulas lanjut beliau berkata, meskipun sistem itu tidak dibuka kepada orang awam, namun setiap ahli boleh mengakses laman sesawang https://www.istiadat.gov.my dari aplikasi i-DATO bagi menyemak terus ketulenan pangkat dimiliki seseorang.
“Setiap ahli yang ingin mendaftar kita akan saring, caranya mereka akan datang ke pejabat kita, berikan watikah dan kad pengenalan. Kemudian kita akan lakukan semakan. Selepas itu barulah ahli itu didaftarkan dalam i-DATO.
“Kita tidak sewenang-wenangnya daftarkan sesiapa sahaja, sebab kita akan saring untuk banteras Datuk palsu. Mekanisme ini jadi tempat untuk kita kumpulkan Datuk tulen sahaja,” katanya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan keghairahan sebahagian individu yang ingin mendapatkan pangkat Datuk menyebabkan mereka terperdaya dengan sindiket menjual gelaran itu pada harga serendah RM50,000 walaupun tiada upacara pemakaian kalungan atau watikah sah di istana.
Sindiket mengiklankan tawaran status itu di media sosial mengatakan kononnya mereka mempunyai kuota terutamanya menjelang sambutan ulang tahun keputeraan Sultan atau Agong untuk mencari mangsa.
Presiden Majlis Datuk Datuk Malaysia, Datuk Samson David Maman berkata, kegiatan itu semakin berleluasa apabila ada individu sanggup membayar demi status tanpa mengambil kira undang-undang. – KOSMO! ONLINE