SHAH ALAM – Bekas akauntan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM3.89 juta.
Hamimah Yakub, 73, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas sembilan pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Berdasarkan pecahan, Hamimah didakwa lima pertuduhan menerima hasil aktiviti wang haram berjumlah RM3,618,527.86 antaranya dari akaun bank peribadi, akaun bank milik sebuah pasar raya dan sebuah syarikat.
Hamimah turut didakwa telah memindahkan sebanyak RM271,863.62 hasil aktiviti haram sebanyak empat transaksi antaranya ke dalam akaun milik GISB Mart Sdn Bhd, akaun peribadi dan akaun bank milik GISBH.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di cawangan bank di Kulim Kedah dan Bandar Baru Bangi antara 5 Januari 2020 hingga 29 Januari 2021.
Pendakwaan dilakukan mengikut Subseksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum dibawah Subseksyen (4)1 akta sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Pendakwaan terdiri Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Izham Mohd. Marzuki, Megat Mahathir Megat Tharih Affendi dan P. Sangari mencadangkan jaminan RM1 juta bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di Bukit Aman.
Peguam Datuk Rosli Kamaruddin bagaimanapun mencadangkan agar diguna pakai ikat jamin RM40,000 yang dikenakan kepada anak guamnya sebelum ini atas pertuduhan dibawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.
“Anak guam saya merupakan pesara dan pernah berkhidmat sebagai pegawai kewangan GISBH dan semasa siasatan polis, dia sudah tidak lagi bekerja dengan GISBH.
“Dia tiada lagi pendapatan dan disara keluarga beliau. Sebagai alternatif sekiranya dibenarkan jumlah jaminan minimum RM5,000 bagi semua pertuduhan,” katanya
Hakim Awang Kerisnada kemudiannya membenarkan jaminan sementara RM5,000 untuk hari ini sahaja bagi mengelakkan dia ditahan.
“Ini disebabkan jumlah yang tinggi akan menyebabkan bank memerlukan masa bagi proses dokumentasi (pengeluaran wang)
“Proses jaminan di Mahkamah akan tamat pukul 4 petang. Lagipun, esok telah dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa Hamimah akan didakwa 60 pertuduhan lagi dan proses jaminan sepenuhnya akan dibuat esok,” katanya.
Mahkamah Sesyen turut akan mendengar sejumlah pertuduhan penggubahan wang haram untuk tiga lagi tertuduh termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Nasiruddin Mohd. Ali. – KOSMO! ONLINE