KUALA LUMPUR – Segalanya serba tidak menjadi buat pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei apabila sekali lagi tersingkir di peringkat awal musim ini pada Terbuka Hong Kong.
Lebih malang, bekas juara remaja dunia itu tidak sempat untuk melangkah ke pusingan pertama apabila terpaksa akur tewas 21-17, 14-21, 14-21 kepada pemain Denmark, Amalie Schulz di pusingan kelayakan hari ini.
Walaupun bermula dengan langkah kanan menerusi kemenangan di set pertama, namun pemain berusia 25 tahun itu gagal untuk mengekalkan rentak konsisten dan terpaksa meninggalkan kejohanan Jelajah Dunia Super 500 tersebut.
Kekalahan itu menyaksikan Jin Wei terus kempunan untuk melangkah jauh pada saingan musim ini, sekali gus menyebabkan peminat-peminat badminton tanah air mula tertanya-tanya mengenai hala tuju kariernya.
Pada perlawanan itu, Jin Wei bermula cukup baik apabila menampilkan aksi konsisten di set pertama meskipun cuba diberikan tentangan oleh Schulz sebelum menamatkan permainan dengan kemenangan 21-17.
Memasuki set kedua, pemain Denmark itu mula memperkemaskan permainan dan menguasai sepenuhnya set tersebut bagi mencatat kemenangan dan mengheret Jin Wei beraksi dalam set penentuan.
Jin Wei yang tersentak dengan kekalahan di set kedua cuba untuk melakukan kebangkitan dalam set penentuan, namun semangatnya seolah-olah ‘dibunuh’ selepas Schulz mendahului dengan jurang mata agak besar.
Menerusi keputusan tersebut, bekas pemain naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu terus kempunan untuk melangkah sekurang-kurangnya ke suku akhir dalam 10 kejohanan disertai musim ini.
Sebagai rekod, sudah hampir dua tahun Jin Wei gagal menjejakkan kaki ke pentas suku akhir selepas kali terakhir melakukannya ketika mara ke separuh akhir Terbuka Hong Kong pada September 2023. – KOSMO! ONLINE