Ugut bunuh Exco Armada Bersatu: Saksi penting dikenal pasti

3 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Polis sudah mengenal pasti saksi penting dalam kes ugutan bunuh membabitkan seorang pengarah sebuah syarikat yang juga Exco Armada Bersatu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, hasil siasatan mendapati pengadu tidak mengenali suspek yang didakwa merancang untuk membunuhnya.

Menurutnya, dua orang saksi telah dipanggil dan dirakam percakapan bagi tujuan membantu siasatan.

“Polis juga mengenal pasti seorang saksi penting berkaitan kes ini dan akan dipanggil untuk dirakam percakapan.

“Kita percaya keterangan saksi ini adalah kunci untuk menjejaki pelaku terlibat dan memperjelaskan motif ugutan ke atas pengadu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sulizmie berkata, bagaimanapun tiada sebarang tangkapan ke atas mana-mana individu dilakukan setakat ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas kesalahan menakutkan secara jenayah melalui perantaraan nama yang disembunyikan.

Tambah Sulizmie, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada pengadu sekitar pukul 9.13 malam, Rabu lalu.

Beliau berkata, pihaknya sedang giat mengesan identiti saspek terlibat dan melakukan siasatan daripada semua segi serta memberi jaminan dengan keselamatan pengadu diberi keutamaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta atau boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor, Pang Wei Keong di talian 013-2082391 atau menyalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Rosdi M. Husin di talian 013-3920694.

Terdahulu media melaporkan, Exco Armada Bersatu, Na’im Brundage mendedahkan menerima ugutan bunuh termasuk ancaman untuk disimbah asid oleh individu tidak dikenali.

Menurutnya, ancaman itu merupakan satu tindakan serius yang boleh mengancam keselamatan diri dan ahli keluarganya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |