Tengku Zafrul berundur, lumrah politik datang dan pergi

2 days ago 12

PETALING JAYA – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menghormati keputusan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk berundur daripada parti itu dan memilih haluan politik yang lebih selari dengan pendiriannya sendiri.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, sepanjang berada dalam kerajaan atas tiket UMNO, Tengku Zafrul telah memainkan peranan penting sebagai teknokrat yang menyumbang dalam bidang ekonomi dan kewangan negara.

“Kita ucapkan terima kasih atas segala sumbangan beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan UMNO tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu kerana kekuatan parti terletak pada semangat akar umbi dan perjuangan rakyat.

“Orang datang dan pergi, itu lumrah orang dalam politik, yang penting perjuangan ini mesti diteruskan. Ini bukan sesuatu yang luar biasa atau mengejutkan. Ia sebahagian daripada dinamika politik yang semakin terbuka dan pelbagai,” katanya.

Menurut Mohamad Hasan, semua pihak berhak memilih jalan mereka sendiri, namun UMNO akan terus bergerak ke hadapan dan memberi tumpuan membina semula kekuatan parti serta memperjuangkan nasib rakyat.

“Kepada ahli dan penyokong UMNO, jangan goyah. Parti ini bukan dibina sehari dua, dan bukan diangkat hanya kerana seorang tokoh. UMNO adalah amanah yang lebih besar daripada itu,” katanya.

Tambahnya, keutamaan parti kini adalah menyatukan ahli, memperbaiki organisasi serta memulihkan kepercayaan rakyat terhadap UMNO.

“Saya doakan yang terbaik buat Tengku Zafrul, dan kita doakan yang lebih baik untuk UMNO,” ujarnya.

Terdahulu, Tengku Zafrul mengumumkan meletak jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta keahliannya dalam parti itu.

Beliau menerusi satu kenyataan memaklumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan itu kepada pucuk pimpinan UMNO. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |