Tawan ‘gunung maut’ Rinjani demi rai hari jadi

8 hours ago 3

GUNUNG Rinjani di Lombok, Indonesia bukan sekadar destinasi pelancongan, malah terkenal sebagai lokasi yang mampu meragut nyawa.

Dengan ketinggian 3,726 meter, ia menjadi medan ujian fizikal dan mental buat pendaki yang mahukan cabaran sebenar.

Itulah yang dilalui Muhammad Hafiz Muhamad Taufik bersama 25 pendaki lain dari Malaysia dan Brunei dalam misi selama tiga hari dua malam pada awal bulan lalu.

Motivasi utama pemuda berusia 31 tahun itu adalah untuk menunaikan impian rakan sekerja yang juga teman sependakian sejak tahun 2018.

Demi menghargai persahabatan, guru dari sebuah sekolah di Cheras itu sanggup membawa kek kecil dan papan hari jadi ke puncak bagi meraikan hari istimewa rakannya.

Pendakian bermula pada pukul dua pagi dari laluan Sembalun, dengan semua peserta perlu menjalani taklimat dan pemeriksaan barang di pejabat Taman Negara Rinjani.

Menariknya, dasar sifar sisa dilaksanakan dengan ketat. Barangan plastik tidak dibenarkan dibawa sesuka hati dan ada yang perlu direkod untuk disemak semula semasa turun.

Menurut Hafiz, kakinya mula terasa sakit seawal hari pertama ketika kumpulan mula mendaki ke kawasan perkhemahan Plawangan.

“Pendakian agak mencabar kerana laluan sentiasa memacak (tirus). Kaki saya mula sakit dan ada juga dalam kalangan pendaki yang sudah mula mengalami kejang.

“Tetapi kami dapat melihat sendiri kecekalan porter tempatan yang hanya berselipar tetapi mampu membawa beban berat dan bergerak lebih pantas daripada pendaki,” katanya.

Walaupun Plawangan menyajikan pemandangan gunung dan tasik yang menakjubkan, malamnya amat sejuk dan berangin.

Bahagian paling mencabar bagi Hafiz ialah ketika menempuh laluan ke puncak yang dikenali sebagai Letter E.

bahagian paling mencabar ialah menempuh laluan ke puncak yang dikenali sebagai Letter E.

Walaupun panjangnya hanya sekitar 300 meter, laluan itu mengambil masa hampir dua hingga tiga jam untuk diselesaikan kerana permukaannya yang berpasir licin.

Setiap tiga langkah ke hadapan, dua langkah akan terundur semula.

Keadaan menjadi lebih sukar apabila angin kuat bertiup tanpa henti dari pelbagai arah, menjadikan pendakian terasa seperti melawan alam.

Kiri dan kanan laluan terbuka menghala ke gaung, menuntut perhatian penuh pada setiap langkah.

Ketika itu, pemuda dari Kajang, Selangor itu menyaksikan pendaki lain berlindung di celah batu dengan selimut kecemasan.

Ada yang terduduk keletihan dan ada juga yang berpelukan menahan sejuk.

“Saya hampir rasa mahu berputus asa, tetapi saya kuatkan tekad demi menunaikan hajat rakan sependaki yang mahu menyambut ulang tahun di puncak.

“Laluan Letter E bukan sahaja mencabar secara fizikal, malah menjadi ujian mental paling getir sepanjang pendakian,” katanya yang tiba di puncak pada pukul 8 pagi.

Hafiz mengakui rasa bersyukur apabila berjaya menjejakkan kaki ke puncak, namun tidak menghabiskan masa yang lama dan hanya fokus menyampaikan ucapan hari jadi kepada rakannya.

Hal ini kerana dia mengalami kepenatan melampau dan keadaan di puncak yang sangat berangin serta kering sehingga menyebabkan matanya sakit.

Perjalanan turun juga tidak kurang mencabar apabila mereka perlu menuruni cerun berbatu menuju ke Segara Anak sebelum bermalam di tepi tasik yang tenang dan memukau.

Laluan Torean diibaratkan seperti dunia Jurassic Park, dengan kehijauan dan tebing tinggi yang memukau pandangan.

Walaupun laluan ini pernah meragut nyawa, kini ia lebih selamat dengan trek yang lebih lebar, adanya tali keselamatan dan pemantauan rapi.

Semasa dalam penerbangan pulang, Hafiz terpandang Gunung Rinjani dari tingkap pesawat dan hatinya sebak.

Sukar untuk dia percaya bahawa dia telah berjaya menawan gunung yang begitu mencabar – gunung yang pernah meragut nyawa pendaki Malaysia pada Mei lalu selain pelancong wanita Brazil yang dilaporkan media baru-baru ini.

“Saya rasa macam satu bab besar dalam hidup tertutup. Saya berjaya, tapi saya juga teringat mereka yang tak sempat turun.

“Jarak antara kami dengan kejadian yang meragut nyawa pendaki Malaysia itu hanya 16 hari. Jadi saya rasa sangat sebak,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |