Tak perlu pisahkan Pang Ron-Su Yin

7 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto tiada perancangan untuk memisahkan gandingan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin kerana masih yakin potensi besar dimiliki pasangan tersebut.

Menurut Nova, pasangan berkenaan kekal antara gandingan terbaik dimiliki skuad kebangsaan dari sudut kemahiran dan buat masa ini tiada keperluan untuk melakukan rombakan terhadap kombinasi mereka.

“Tiada perancangan untuk itu (pecah gandingan). Buat masa ini, saya rasa mereka masih yang terbaik dari segi kemahiran,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Jurulatih dari Indonesia itu bagaimanapun mengakui, aspek bukan teknikal seperti kekuatan mental dan komunikasi menjadi kekangan utama kepada prestasi semasa mereka.

Beliau menjelaskan, tekanan mula dirasai terutama oleh Su Yin selepas mereka berjaya menembusi kelompok 13 terbaik dunia, sekali gus memberi cabaran kepada kestabilan mental dan emosi.

“Kadang-kadang apabila jangkaan terlalu tinggi dan mental tidak cukup kuat, ia boleh memberi tekanan. 

“Kalau dari segi kualiti, mereka sudah tunjukkan kemampuan. Dalam beberapa kejohanan sebelum ini, termasuk di China, mereka mara ke final dan hampir menjadi juara. Mereka juga mampu menewaskan pemain-pemain bertaraf dunia. Jadi, kualiti itu memang ada.

“Tetapi untuk menjadi juara atau menjadi pemain teratas dunia, ia tidak cukup dengan kualiti sahaja. Mental kena kuat dan karakter pemain masih perlu diperbaiki. Itu yang sedang kita fokuskan sekarang,” ujarnya.

Pang Ron-Su Yin perlu merapatkan jurang dengan satu lagi beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang kini menduduki tangga keempat dunia.

Selepas ini, Pang Ron-Su Yin akan menyertai tiga kejohanan penting iaitu Super 750 di Terbuka Jepun (15-20 Julai) dan Super 1000 di Terbuka China (22-27 Julai) dan Kejohanan Dunia, Paris (25-31 Ogos). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |