Suami ‘pau’ RM50,000 konon syarat cerai tapi modal kahwin baru

5 hours ago 5

PETALING JAYA – Seorang wanita berasa marah apabila diperdayakan suaminya yang meminta sejumlah wang tunai kononnya sebagai syarat ditetapkan mahkamah sebelum bercerai.

Menerusi perkongsian peguam syariah, Fahmi Ramli, kisah realiti itu berlaku apabila isteri berkenaan datang bertemunya di luar mahkamah pada ketika itu.

Katanya, wanita tersebut meminta kepastian daripadanya sama ada benar mahkamah menetapkan syarat sedemikian sekiranya isteri yang meminta cerai.

“Wanita itu kata ‘suami saya sebab dia tak nak ceraikan saya. Dia kata sebab saya mintak cerai, Mahkamah tetapkan RM50,000 untuk perceraian ni diberi kepada suami’.

“Mujurlah isteri ni jenis berani nak bertanya. Kalau yang jenis ‘dengar dan taat’ saja, memang senang lah kena sembelih,” tulisnya di hantaran Facebook.

Selain itu, Fahmi turut mendedahkan kes sebegini bukannya baharu dan sering terjadi kepada isteri teraniaya akibat penipuan suami.

“Memang ramai isteri diluar sana yang rasa benda ni betul. Ada yang kena tipu dengan suami, kalau nak cerai boleh, bayar RM10,000, RM20,000, dan ada yang sampai RM100,000.

“Saya pernah lihat isteri bayar RM20,000, dan keluar daripada dewan mahkamah, menyumpah cakap undang-undang Islam ni tak adil. Aniaya isteri. Si suami gembira sebab dapat ‘cash’ untuk modal kahwin baru,” ujarnya.

Jelas Fahmi, penceraian secara tebus talak sememangnya ada namun ianya bukan ganti rugi dan tidak wajib untuk isteri membayar sekiranya meminta cerai melainkan rela dan berkemampuan.

Menurut Fahmi, tebus talak adalah perpisahan antara suami dan isteri dengan sebuah ganti (tebus talak) dengan menggunakan lafaz talak atau khulu’.

Ujarnya, ramai suami mintak jumlah tidak munasabah seolah-olah itu adalah gantirugi kerana isteri mintak cerai.

“Bila disoalkan, apa kerugian yang ditanggung, ungkit bab nafkah yang diberi. Bila ditanya berapa jumlah Maskahwin, hanya RM100 sahaja, hantaran pun RM2,500.

“Masa tu dia dah tak fikir itu adalah tanggungjawab seorang suami dan berapa ramai anak telah dilahirkan si isteri. Yang dia tahu, ini peluang untuk dapat ‘modal kahwin baru’,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |