PETALING JAYA – Bekalan gas di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia terganggu berikutan insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada 1 April 2025.
Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam satu kenyataan media berkata, kawasan terlibat adalah di zon tengah iaitu Shah Alam, Klang, Serdang, Puchong, Batu Tiga dan Kapar serta di beberapa kawasan di zon utara.
“Beberapa pengguna yang terkesan telah mula menerima notis sekatan daripada pembekal masing-masing sehingga 20 April 2025.
“Bekalan gas masih ada dalam kuantiti yang terhad dan keutamaan diberikan kepada perkhidmatan kritikal seperti hospital dan penjanaan elektrik serta keperluan untuk menstabilkan tekanan paip gas,” kata kenyataan itu hari ini.
ST berkata, insiden itu turut menyebabkan gangguan bekalan gas kepada empat stesen janakuasa utama di Lembah Klang iaitu Stesen Janakuasa (SJ) Connaught Bridge, SJ Pulau Indah, SJ Sultan Salahuddin Abdul Aziz (KEV) dan SJ Putrajaya.
Bagaimanapun, kata ST, bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia dalam keadaan stabil dengan beberapa langkah mitigasi telah dan akan diambil antaranya pengoperasian secara optimum stesen-stesen janakuasa sedia ada termasuk penjanaan berasaskan arang batu.
Menurut ST, langkah lain adalah kesiapsediaan pengoperasian stesen janakuasa yang terkesan
menggunakan “distillate fuel” dan MFO serta pemantauan permintaan dan perancangan penjanaan yang lebih terperinci merangkumi pelbagai senario risiko.
Jelas ST, langkah-langkah mitigasi interim sedang diteliti secara berterusan dan suruhanjaya tersebut akan turut menganjurkan sesi libat urus dengan pengguna yang terjejas dalam tempoh terdekat.
“Insiden letupan paip gas ini merupakan insiden terpencil di Semenanjung Malaysia. ST menyeru pihak-pihak terlibat untuk terus bekerjasama dan kepada semua pengguna untuk sentiasa mengutamakan keselamatan.
“Memastikan penggunaan tenaga secara berhemah agar dapat menangani impak secara kolektif bagi kesejahteraan bersama,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE