SAAT hujan turun membasahi bumi, lelaki itu duduk di katilnya sambil merenung nasib diri yang keseorangan tanpa keluarga di sisi.
Seharusnya di usia emas, dia mendapat perhatian daripada anak-anak, namun semuanya lebih memilih supaya bapa mereka ditempatkan di pusat penjagaan.
Masih terngiang di telinganya saat anak-anak bertelagah tentang siapa yang patut menjaganya, namun semua menolak kerana tidak mahu menambah beban kehidupan masing-masing, tambahan pula dia juga sudah uzur.
Meskipun sedih mendengar anak sendiri enggan menjaganya, Razak (bukan nama sebenar) terpaksa akur kerana sikap mereka itu berpunca daripada tindakannya sebelum ini.
“Hati siapa tidak sedih bila anak-anak tidak mahu menjaga ibu bapanya yang sudah uzur, namun apakan daya mereka sudah sepakat untuk menghantar saya di rumah orang-orang tua.
“Tetapi saya faham kenapa mereka bersikap sedemikian kerana semasa mereka kecil, saya bukan sosok bapa yang baik, malah mengabaikan mereka sejak isteri meninggal dunia,” katanya ketika ditemui Panorama di sebuah rumah kebajikan dekat Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu, semuanya bagaikan kifarah yang terpaksa dia terima kerana selama anak-anak membesar dia tidak pernah sekali pun mengambil kisah tentang mereka.
Kongsinya lagi, sebelum isterinya meninggal dunia, dia juga jarang meluangkan masa bersama anak-anak kerana sibuk dengan urusan kerja.
Dia yang merupakan bekas pekerja kapal itu juga mengatakan bahawa dirinya tidak ada semasa isterinya melahirkan kedua-dua anaknya.
“Anak-anak memang membesar dengan arwah isteri dan selepas dia pergi, saya tinggalkan mereka dengan keluarga mentua.
“Oleh kerana ini memang hubungan saya dengan anak-anak memang tidak rapat, malah tidak lama selepas ibu mereka meninggal dunia saya berkahwin baharu,” ujarnya.
Katanya lagi, selepas berkahwin baharu, dia tidak pernah langsung mengambil tahu perihal anak-anak hingga keperluan mereka juga tidak diendahkan.
Pernah sekali, anaknya menelefon untuk bercakap dengannya tetapi dia hanya acuh tidak acuh menjawab dan terus mematikan telefon.
Tidak hanya itu semasa anaknya menjemput untuk dia menghadiri konvokesyen, dia juga tidak hadir dan selepas itu anak-anaknya tidak pernah lagi cuba menghubunginya.
“Pada ketika itu saya hanya fikirkan diri sendiri yang mana sudah cukup dengan isteri baharu dan suatu hari nanti ada orang yang akan menjaga saya.
“Namun, Allah mempunyai perancangan lain dan semasa saya sudah tua dan mula sakit-sakit, isteri yang saya harapkan pergi dan memohon cerai,” jelasnya.
Katanya, perkahwinan dengan isteri kedua tidak dikurniakan cahaya mata dan dalam keadaan itu dia teringat kepada anak-anak untuk menumpang kasih agar dapat menjaganya.
Namun, semuanya tidak seperti diharapkan, anak-anak kini pula bersikap acuh tak acuh dengan dirinya. Malah, dia juga berasa dirinya dilayan seperti orang asing yang tiada pertalian darah dengan mereka berdua.
Kongsinya lagi, situasi itu mengembalikan memorinya terhadap sikapnya terhadap anak-anak dan ketika itu baru dia faham perasaan mereka diperlakukan sedemikian.
Dia juga menerima keadaan itu kerana apa yang dihadapi oleh anak-anaknya jauh lebih perit kerana tidak dianggap anak oleh bapa sendiri.
Hari ini, hanya penyesalan yang menyelubungi dirinya dan Razak juga berharap sebelum nafas terakhir anak-anaknya dapat memaafkan kesilapannya terhadap mereka.