JOHOR BAHRU – Niat baik seorang penghantar makanan ingin membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila dia maut dirempuh pemandu kenderaan mewah jenis BMW disyaki mabuk dalam kejadian Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru berhampiran stesen minyak memasuki Taman Desa Jaya, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, mangsa, Mohd Taufik Ariff Sariff, 37, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Menurut isteri mangsa, Suhaidah Yusof, 40, sebelum kejadian dia dan suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bakar Batu di sini selepas keluar makan bersama rakan-rakan arwah suaminya.
“Saya dan suami keluar makan di sebuah restoran di Desa Cemerlang bersama kawan-kawan arwah suami, saya bawa kereta ada ternampak serpihan motosikal kemalangan, saya parkir kereta tepi jalan di hadapan Petronas, suami keluar kereta nak tolong.
“Masa itu dah ramai yang berhenti kereta nak tengok kemalangan dan tolong bantu kawal lalu lintas, tak lama kemudian saya terdengar dentuman kuat, saya tak keluar duduk dalam kereta, kemudian ada orang beritahu suami saya terbaring kena langgar kereta,”katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini hari ini.
Difahamkan pemandu kereta BMW dikata cuba melarikan diri selepas berlaku kemalangan.
Namun berjaya ditahan kira-kira 800 meter oleh orang awam yang mengejar kereta lelaki itu sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Dalam pada itu, Suhaidah yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta berkata, selepas mengetahu kemalangan itu melibatkan suaminya, dia terus menghubungi adik iparnya memaklumkan insiden yang berlaku.
Ujarnya, dia mengakui masih terkejut dan trauma selepas kehilangan suami tercinta lebih-lebih lagi umat Islam masih lagi menyambut Aidilftri.
“Kami baharu sahaja mendirikan rumah tangga, kami kenal sudah dua tahun tapi baru kahwin September tahun lalu.
“Kenangan indah bersama arwah ketika hari raya, kami beraya bersama-sama keluarga kali pertama bergelar suami isteri, kami sempat rakam gambar ‘fotoshoot’ sempena raya hari itu,”katanya.

Jelasnya, dia reda dengan ketentuan Ilahi apatah lagi masih lagi dalam fasa bulan madu kerana baharu tujuh bulan membina mahligai cinta.
Katanya, tiada perubahan pelik berlaku ke atas suaminya namun pada malam Jumaat lalu, arwah suaminya terbaring di luar rumah dan banyak termenung selain tidak banyak bercakap.
“Malam Jumaat lalu, dia cakap panas badan dan pening kepala, dia banyak terbaring dan berdiam diri tak banyak cakap.
“Malam semalam (Sabtu) keluar pusing-pusing dan makan bersama kawan-kawan dia cakap hilang dah sakit kepala dia,”katanya.-KOSMO! ONLINE