MPD bukan jejak individu, hanya untuk statistik negara – MCMC

3 hours ago 1

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menegaskan bahawa semua data yang dikumpulkan menerusi inisiatif Data Telefon Bimbit (MPD) daripada syarikat telekomunikasi adalah bertujuan memacu agenda pendigitalan negara serta digunakan bagi penyediaan statistik rasmi negara.

Timbalan Pengarah Urusan MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd. Yasin berkata, MPD bukan bertujuan menjejaki keberadaan individu secara peribadi, tetapi bagi mengumpul data statistik dalam bentuk baharu menggunakan teknologi digital dan analitik data raya (big data analytics).

“MPD adalah transformasi besar dalam pengumpulan data statistik. Jika sebelum ini dilakukan melalui kajian.

“Kini kita perkenalkan kaedah digital yang lebih efisien. Tujuannya untuk kegunaan statistik rasmi negara,” katanya pada sidang akhbar selepas taklimat bersama media di sini, hari ini.

Beliau turut menjelaskan, data yang dikumpulkan telah diproses untuk menghapuskan sebarang elemen yang boleh mengenal pasti individu termasuk nama, nombor kad pengenalan dan alamat.

“Kita tekankan bahawa data yang dikumpul ini tidak mempunyai sebarang maklumat peribadi. Tiada nama, tiada nombor kad pengenalan dan tiada alamat.

“Malah, lokasi yang dikumpulkan juga bukan lokasi individu, sebaliknya adalah lokasi menara pemancar,” ujarnya.

Menurut beliau, sejak awal lagi MCMC telah menetapkan kepada semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi menghantar data yang telah dianonimkan sahaja dan bukan merupakan ‘raw data’.

“Daripada lapan set data yang diperlukan, kita minta semua diproses secara anonymous (tanpa nama).

“Penyedia perkhidmatan sendiri memastikan pematuhan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi kerana data yang telah dianonimkan tidak dikategorikan sebagai data peribadi,” jelasnya.

Tambah beliau, semua syarikat telekomunikasi termasuk CelcomDigi, U Mobile dan Telekom Malaysia telah bersetuju untuk menyerahkan data yang diperlukan mengikut keupayaan masing-masing dalam memproses data secara anonymous.

Dalam pada itu, menjawab persoalan mengapa tiada rundingan awam dilakukan, Zurkarnain menjelaskan bahawa MCMC dan Jabatan Perangkaan telah melaksanakan pelbagai libat urus dengan pihak berkepentingan sejak peringkat awal pelaksanaan MPD.

“Bukan soal tiada public consultation (rundingan awam). Kita telah lakukan banyak engagement (libat urus) dengan pihak berkepentingan pelaksana,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |