SHAH ALAM – Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali dan tiga bekas akauntannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 264 pertuduhan keseluruhannya melibatkan penggubahan wang haram bernilai RM40.01juta.
Nasiruddin, 66, dan Hamimah Yakub, 73 serta Asmat @ Asmanira Muhamad Ramly, 44, bersama suaminya, Mohd. Khushairi Osman ,54, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Prosiding pertuduhan melibatkan keempat-empat tertuduh memakan masa hampir lima jam selepas bermula pukul 10 pagi.
Berdasarkan pecahan, Nasiruddin yang berkerusi roda didakwa 109 pertuduhan melibatkan transaksi menerima dan memindahkan hasil aktiviti wang haram bernilai RM14juta.
Hamimah pula 60 pertuduhan berjumlah RM710,000 dan Asmat@Asmanira Muhamad dengan 41 pertuduhan bernilai RM5 juta sementara Mohd. Khushairi adalah sebanyak 54 pertuduhan berjumlah RM20.3 juta.
Kesalahan itu melibatkan 10 buah akaun berbeza termasuk masing-masing milik tertuduh, GISB Mart Sdn. Bhd, GISB Travel and Tour Sdn. Bhd. dan sebuah pusat penjagaan kanak- kanak di Bandar Baru Bangi, Rawang dan Subang Perdana antara 2020 hingga 2024.
Pendakwaan dilakukan mengikut Subseksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum dibawah Subseksyen (4)1 akta sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Pendakwaan terdiri Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Izham Mohd. Marzuki, Megat Mahathir Megat Tharih Affendi dan P. Sangari mencadangkan jaminan RM50,000 bersama dua penjamin beralamat Kuala Lumpur dan Selangor.
Pendakwaan turut menyatakan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri setiap awal bulan di
Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Polis Diraja Malaysia Bukit Aman serta tidak menggangu saksi pendakwaan.
“Bagi Nasiruddin tiada tawaran dicadangkan memandangkan tertuduh kini direman dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012,” tegasnya.
Peguam Datuk Rosli Kamaruddin bagaimanapun memohon ikat jamin rendah pada kadar RM20,000 bagi tiga tertuduh manakala Nasiruddin diserahkan kepada budi bicara mahkamah.
“Majoriti dikaitkan dengan GISBH termasuk keempat-empat tertuduh melalui rehabiltasi dan skim di bawah Jabatan Kemajuan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor dan Majlis Keselamatan Negara.
“Mereka tidak mampu menyara diri ketika ini. Malah, Asmanira yang pernah menulis skrip siri animasi TV, Kluang Man kini sedang menunggu mana-mana tawaran yang ingin menggunakan kemahirannya dalam penulisan novel,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM20,000 kepada Hamimah dan Asmanira manakala RM25,000 kepada Mohd. Khushairi.
Nasiruddin pula tidak dibenarkan ikat jamin selain membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 dan 25 November depan.
Kosmo! semalam melaporkan Hamimah mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM3.89 juta. – KOSMO! ONLINE