2 maut, lebih 200 dipindahkan dalam banjir di Bali

3 hours ago 5

JAKARTA – Banjir yang melanda sejumlah daerah di wilayah Bali hari ini merupakan yang terburuk dalam tempoh sedekad terakhir, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) yang memetik kenyataan Ketua Pelaksana Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Bali, I Gede Agung Teja Bhusana Yadnya.

Sekurang-kurangnya dua orang maut akibat bencana itu, manakala lebih 200 orang dipindahkan di pelbagai kawasan di pulau pelancongan tersebut.

“Ada mangsa yang ditemukan, dua orang meninggal dunia,” kata Gabenor Bali, I Wayan Koster kepada wartawan Christine Nababan, yang melaporkan untuk BBC News Indonesia di Denpasar.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), kedua-dua mangsa itu merupakan penduduk daerah Jembrana.

Wilayah yang terjejas dengan banjir meliputi daerah Jembrana, Gianyar, Tabanan, Klungkung dan Kota Denpasar.

Ketua Seksyen Operasi dan Kesiapsiagaan, Pejabat Mencari dan Menyelamat (Basarnas) Bali, I Wayan Juni Antara berkata, proses pemindahan mangsa banjir masih berterusan hingga pukul 12 tengah hari (waktu tempatan) sejak pukul 5 pagi (waktu tempatan).

Menurut beliau, hujan yang turun sejak semalam tidak berhenti sehingga hari ini, menyebabkan limpahan air di sungai-sungai sekitar Denpasar.

Banyak jalan dinaiki air sehingga akses terputus dan tidak boleh dilalui kenderaan.

Balai Besar Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BBMKG) Wilayah III Denpasar melaporkan, hujan berintensiti ringan hingga lebat disertai angin kencang dan kilat berlaku di sebahagian besar wilayah Bali sejak pagi semalam.

Hujan lebat itu mencetuskan limpahan air di beberapa sungai di Pulau Bali, antaranya Sungai Tukad Badung berhampiran Pasar Badung, Denpasar. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |