Malaysia sedia gerak pemimpin OIC kutuk kebiadapan Israel

5 hours ago 3

PUTRAJAYA – Malaysia menzahirkan kesediaan untuk menghubungi pemimpin-pemimpin utama Islam melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi mengutuk sekeras-kerasnya kebiadapan Israel yang berterusan mencabuli hak asasi manusia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sendiri sedia menghubungi beberapa pemimpin utama Islam termasuk Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani berhubung perkara berkenaan.

Pada masa sama, Anwar juga bersedia menghubungi Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan serta pemimpin negara Islam yang lain.

“Menteri Luar telah menghubungi Menteri Luar Qatar dan kalau perlu, saya akan menghubungi Emir Qatar termasuk beberapa pemimpin Islam (Erdogan dan Putera Mahkota Mohammed Salman) dan beberapa yang lain.

“Ia bagi fikirkan keperluan kerana kebiadapan Israel itu keterlaluan dan dia boleh serang mana-mana negara atas apa-apa alasan dan kita telah kutuk keras mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan (ICOSH 2025), di sini hari ini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia akan mengadakan sidang tergempar bersama pemimpin OIC susulan serangan Israel terhadap Qatar, semalam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, serangan berterusan Israel menunjukkan sistem dunia gagal selepas jenayah dibuat rejim Zionis itu seakan dipandang remeh oleh beberapa negara antarabangsa lain.

“Ini menunjukkan sistem apa yang saya bicarakan sebelum ini, sistem dunia gagal. Satu negara lakukan jenayah terang menerang, negara lain boleh biarkan begitu rupa.

“Ini akan rosakkan seluruh sistem dan tatanan dunia,” katanya.

Terdahulu, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas sebuah bangunan kediaman di Doha dengan menyifatkan tindakan itu melanggar kedaulatan Qatar dan undang-undang antarabangsa termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Semalam, Kementerian Luar Negeri Qatar mengesahkan kejadian letupan yang berlaku di Legtaifiya, Doha adalah serangan rejim Israel ke atas pejabat pemimpin Hamas.

Setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkesan dalam insiden berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |