PUTRAJAYA – Seorang penganggur kekal dipenjara tujuh tahun oleh Mahkamah Rayuan, di sini kerana menetak Ketua Polis Daerah Besut yang juga jirannya dalam kejadian enam tahun lalu.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali memutuskan demikian selepas menolak rayuan akhir Mohd. Nasli Mohd. Nasir, 39, selain mendapati perayu waras ketika melakukan kesalahan dan pembelaan tidak berjaya membuktikan mengalami perayu mengalami skizofrenia (gangguan mental).
Berdasarkan penghakiman bertulis dikeluarkan pada 8 September lalu, panel mendapati, Seksyen 84 tidak berjaya dibuktikan, di mana keadaan mental perayu dan semua keadaan tindakan perayu serta keterangan dalam laporan psikiatri telah dinilai dan dipertimbangkan semasa hukuman.
“Di dalam menjatuhkan hukuman, hakim bicara tiada khilaf dan telah menimbangkan kepentingan perayu dan keadaan mentalnya dan juga kepentingan awam. Oleh itu di peringkat Mahkamah Rayuan, setelah dua keputusan di mahkamah bawah, kami dapati tidak ada kesilapan dilakukan Hakim Mahkamah Sesyen yang mana telah disahkan Mahkamah Tinggi.
“Kami dapati hakim bicara telah menimbangkan semua faktor secara memuaskan sebelum menetapkan hukuman. Hukuman adalah sesuai dan tidak melampau, dengan itu, kami tiada sebab untuk mengusik keputusan yang telah dicapai oleh mahkamah bawahan,” katanya.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Mohamed Zaini Mazlan.
Berdasarkan fakta kes, Mohd. Nasli tinggal berjiran dengan mangsa, yang ketika itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi.
Pada 15 Ogos 2019 ketika Mohd. Zamri tiba di rumahnya, beliau mendapati pokok kelapa yang ditanamnya di tepi jalan di hadapan rumah telah dicabut orang dan pokok itu dibuang di halaman rumahnya.
Beberapa ketika, Mohd. Nasli telah sampai di hadapan rumah Mohd. Zamri dengan menaiki kenderaan dan mempertikaikan penanaman pokok kelapa serta mengarahkan mangsa untuk mendapatkan kebenaran dahulu.
Mohd. Nasli yang tidak berpuas hati memarahi Mohd. Zamri telah keluar daripada kenderaan dan mengejar mangsa sambil membawa parang dan telah menetak mangsa dari arah belakang.
Tetakan telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala selain tetakan itu turut terkena pada ibu jari tangan kanan sehingga putus.
Perayu diwakili peguam bela, Datuk Mohd. Yazid Mustafa manakala Zaki Asyraf Zubir bertindak bagi pihak pendakwaan selaku responden.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Nasli didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah di bahagian ibu jari tangan kanan mangsa hingga putus dan mengalami cacat kekal.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu menggunakan parang panjang di hadapan rumah di Jerteh, Besut, pukul 12.30 tengah hari pada 15 Ogos 2019.
Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan. – KOSMO! ONLINE