KUALA LUMPUR – Isu Laut China Selatan tidak boleh dilihat sebagai masalah dua hala tetapi perlu ditangani secara bersama oleh seluruh negara ASEAN.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berkata, negara-negara anggota telah bersetuju bahawa Kod Tatalaku (COC) merupakan garis panduan penting yang mesti dipatuhi kerana ia selaras dengan undang-undang antarabangsa.
“Sebagai ASEAN, kita mempunyai suara. Tetapi sebagai sebuah negara tunggal, suara kita sangat kecil.
“Jika dilihat secara berasingan, kita terlalu kecil, namun jika kita bersatu, apa sahaja yang berlaku kepada Filipina seharusnya turut menjadi kebimbangan kita semua,” katanya pada sidang akhbar selepas Persidangan Panglima Angkatan Tentera ASEAN ke-22 (ACDFM) di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Nizam, hanya dengan pengiktirafan menyeluruh terhadap kod tatalaku itu, ASEAN mampu menjamin kebebasan pelayaran di Laut China Selatan.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Filipina, Jeneral Romeo S Brawner Jr. berkata, negaranya telah berusaha sekian lama untuk mendorong pelaksanaan kod tatalaku tersebut.
Beliau berkata, perkara tersebut juga akan terus dibincangkan dalam persidangan ACDFM akan datang yang akan dipengerusikan oleh Filipina.
“Amat penting untuk kita mempunyai kod tatalaku yang dihormati oleh semua pihak, bukan sahaja negara-negara ASEAN tetapi juga semua negara di rantau ini.
“Jadi saya gembira kerana dalam mesyuarat tahun ini, Jeneral Mohd. Nizam sekali lagi membangkitkan perkara ini untuk dibincangkan,” katanya.
Pertikaian persempadanan Laut China Selatan melibatkan tuntutan bertindih terhadap beberapa pulau, terumbu dan zon maritim oleh China, Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei dan Taiwan.
Ia antara lain melibatkan Kepulauan Spratly dan Paracel, serta Terumbu Scarborough.
Tindakan China meletakkan Sembilan Garis Putus atau ‘Nine Dash Line’ secara unilateral yang memasukkan perairan sekitar Natuna di dalam sempadannya, menjadi punca ketegangan berterusan antara negara gergasi itu dengan negara-negara ASEAN. – KOSMO! ONLINE