PUTRAJAYA – Kerajaan akan memberi tumpuan untuk melahirkan bakat baharu berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi menerusi Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sektor kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor merupakan antara bidang yang menjadi tumpuan khusus bagi memenuhi keperluan mendesak industri berteknologi tinggi.
“Ini antara keutamaan kita dalam belanjawan kali ini (dibentangkan pada) bulan depan Insya-Allah. Kita terpaksa melihat semula mengenai pencapaian dan apa yang diperlukan untuk memberi dukungan.
“Ia supaya dipercepatkan dengan kadar yang lebih pantas lagi (bagi) program latihan dan kesejahteraan yang diperlukan untuk mengangkat martabat dan keupayaan anak-anak kita,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan (ICOSH) 2025 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan turut menambah peruntukan dalam Belanjawan 2026 bagi mempercepat program latihan dan pembangunan kemahiran anak muda dalam bidang AI, teknologi digital dan kejuruteraan.
Perdana Menteri berkata, penambahan dana itu bertujuan memastikan negara mampu memenuhi keperluan tenaga mahir seiring pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional dan perkembangan pesat industri semikonduktor.
“Sebab itu saya tambah peruntukan dari tidak peruntukan yang sedia ada tapi menambah untuk memenuhi keperluan. Ini merupakan di antara keutamaan kita tentunya dalam pelanjawan negara ini,” katanya.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada universiti dan kementerian kerana mempercepat penubuhan fakulti AI sekali gus memecahkan halangan birokrasi yang sebelum ini melambatkan kelulusan program baharu.
Jelas beliau, kerajaan mahu memastikan program pembangunan bakat dalam sektor AI, digital dan industri elektrik dan elektronik dapat dipercepat supaya negara tidak ketinggalan dalam persaingan global. – KOSMO! ONLINE