PETALING JAYA – Kerajaan hari ini menguatkuasakan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2023, Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2023 dan Akta Kesihatan Mental (Pindaan) 2023, sekali gus melengkapkan usaha menyahjenayah kesalahan cubaan bunuh diri di Malaysia.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan bersama berkata, pindaan itu dimuktamadkan bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2025.
Kata kenyataan itu, menerusi pindaan Akta Kanun Keseksaan, Seksyen 309 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda terhadap individu yang cuba membunuh diri telah dimansuhkan.
Selain itu, pindaan Akta Kesihatan Mental 2001 memperkenalkan peranan Pegawai Intervensi Krisis yang terdiri daripada polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Tambah kenyataan itu, mereka diberikan kuasa membawa individu yang cuba membunuh diri ke hospital psikiatri untuk pemeriksaan serta rawatan awal.
“Bagi menyokong pelaksanaan ini, hampir semua hospital KKM serta dua hospital universiti akan diwartakan sebagai hospital psikiatri kerajaan, melibatkan 145 hospital di seluruh negara termasuk kawasan pedalaman.
“Latihan khusus untuk PIK juga akan dimulakan dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, kerajaan mengekalkan kesalahan persubahatan bunuh diri (abetment of suicide) dan memperkenalkan kesalahan persubahatan cubaan bunuh diri (abetment of attempted suicide) di bawah Seksyen 305 dan 306 Kanun Keseksaan, khususnya melibatkan kanak-kanak serta golongan kurang upaya mental yang mudah dimanipulasi.
Kerajaan menyeru semua pihak berganding bahu memupuk empati, menghapuskan stigma serta memastikan akses mudah kepada rawatan bagi individu yang berdepan krisis kesihatan mental.
“Sesiapa sahaja yang berhadapan dengan masalah kesihatan mental boleh menghubungi Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental iaitu Talian Heal di 15555 untuk mendapatkan bantuan.
“Adalah menjadi harapan Kerajaan Madani bahawa reformasi undang- undang ini akan menjadi anjakan besar dalam usaha mencegah cubaan bunuh diri di Malaysia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE