PETALING JAYA – Seorang rakyat Malaysia yang bercuti ke Kathmandu, Nepal berdepan detik cemas apabila terkandas di negara tersebut akibat dalam rusuhan penunjuk perasaan.
Menerusi hantaran @Anisfarhana_11 di TikTok, dia dikenakan perintah berkurung buat masa sekarang kerana keadaan yang begitu tegang oleh rakyat tempatan di sana.
“Assalamualaikum semua. Saya rakyat Malaysia kini berada di Khatmandu, Nepal dan terkandas merasa rusuhan serta perintah berkurung yang dikenakan di sini.
“Kami keadaan selamat buat masa ini, tapi pergerakan sangat terhad. Doakan kami dan semua rakyat Malaysia di sini sentiasa dilindungi. Terima kasih,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Dalam video yang dimuat naik, kelihatan ramai penunjuk perasaan berkumpul serta membakar fasiliti awam di sepanjang awam tanda protes terhadap kerajaan.
Sementara itu, rakyat Malaysia terbabit yang datang ke Nepal untuk bercuti mengakui perjalannya terganggu akibat rusuhan besar-besaran dan perintah berkurung yang dilaksanakan.
“Pagi tadi aku nak ke Phokara Bus semua telah dibatalkan. Perjalanan aku agak terganggu disebabkan rusuhan besar-besaran dan perintah berkurung.
“Kami masih selamat buat masa ini tetapi semuanya bergantung kepada keadaan semasa,” katanya.
Pihak Kosmo! masih cuba mendapatkan rakyat Malaysia terbabit bagi berkongsikan perkembangan terkini semasa dari negara Himalaya itu.
Sebelum ini penunjuk perasaan membakar Parlimen dan memaksa Perdana Menteri Nepal meletak jawatan.
Protes bermula Isnin lalu di ibu negara Nepal bagi membantah sekatan kerajaan ke atas media sosial dan berhubung isu rasuah.
Bagaimanapun, ia memuncak menjadi kemarahan di seluruh negara dengan bangunan kerajaan dibakar selepas tindakan keras meragut sekurang-kurangnya 22 nyawa.
Hampir 200 orang dipercayai cedera dalam pertempuran dengan polis yang menggunakan gas pemedih mata, meriam air dan peluru hidup ketika penunjuk perasaan memanjat dinding Parlimen serta bangunan rasmi lain, lapor Perbadanan Penyiaran Britain.- KOSMO! ONLINE
@anisfarhana_11 Asslamualaikum semua. Saya rakyat malaysia kini berada di khatmandhu , Nepal dan terkandas merasa rusuhan Serta perintah berkurung yg dikenakan di sini. Kami keadaan selamat buat masa ini , tapi pergerakan sangat terhad . Doakan kami dan semua rakyat malaysia di sini sentiasa dilindungi. Terima kasih #prayfornepal🇳🇵 #terkandasdinepal #rakyatmalaysia ♬ оригінальний звук – Anastasiia 💎