PUTRAJAYA – Keyakinan pelabur khususnya dari negara antarabangsa terhadap blok ASEAN disifatkan kekal stabil meskipun berlaku perubahan kepimpinan di Thailand dan pergolakan situasi politik di Indonesia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini, keadaan di Thailand dilihat stabil dengan pelantikan Perdana Menteri baharu negara itu, Anutin Charnvirakul.
“Setakat yang kita tahu, keadaan di Thailand agak stabil dengan Perdana Menteri baharu mereka dan kita mendoakan yang baik kerana kestabilan adalah perkara paling penting.
“Dalam masa sama, saya turut berhubung dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan keadaan di sana hampir kembali normal, saya fikir ia cukup stabil,” katanya pada pemberita selepas menyempurnakan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan (ICOSH 2025) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia juga tidak melihat sebarang reaksi negatif daripada pelabur selain berharap keyakinan itu akan terus dipamerkan.
“Kerana saya sudah nyatakan bahawa ASEAN secara relatifnya ialah rantau yang paling aman,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai status Thaksin Shinawatra yang diarah menjalani hukuman penjara serta-merta dan peranan beliau sebagai penasihat tidak rasmi ASEAN, Anwar berkata, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri baharu Thailand mengenai perkara itu.
“Tiada keperluan ambil apa-apa keputusan segera sehingga dia (Anutin) datang dalam tempoh singkat untuk bincang kerjasama dengan Thailand dan ASEAN.
“Peranan Thaksin tentunya terbatas kerana dia tidak bebas untuk berikan apa pandangan dan kerjasama,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Agung Thailand mengarahkan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra dipenjara serta-merta untuk menjalani hukuman setahun.
Mahkamah memutuskan hukuman penjara yang dijatuhkan pada 2023 tidak dilaksanakan dengan betul dan kini tertuduh perlu menjalani baki hukuman penjara yang dielakkannya ketika dalam tahanan hospital. – KOSMO! ONLINE