Kembar tular tidur luar sebab kena marah main api dalam rumah

5 hours ago 3

BALIK PULAU – Pasangan kembar yang tular tidur di luar kaki lima rumah, sebuah pangsapuri di sini dikatakan berpunca selepas dua beradik itu dimarahi ibu tiri mereka akibat bermain api di dalam rumah.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pemeriksaan awal terhadap kanak-kanak berusia lapan tahun itu tidak menemukan kesan lebam atau kecederaan fizikal.

Menurutnya, siasatan juga mendapati pasangan kembar lelaki itu dipercayai dijaga ibu tiri yang berusia 39 tahun bersama bapa kandung mereka.

“Hasil rakaman percakapan kedua-dua mangsa menyatakan mereka tidur di luar sebab dimarahi suspek kerana bermain api dengan membakar kertas di dalam rumah.

“Isu kejadian mata ditutup semasa makan pula disebabkan mangsa tidak suka makan sayur lalu suspek menutup mata agar mangsa makan sayur-sayuran. Selain itu, mangsa menyatakan tidak pernah didera oleh saspek,” katanya di sini, petang ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pihaknya telah terkesan dengan hantaran di laman Facebook milik seorang wanita dikenali sebagai ‘Wana Talia’, semalam.

Katanya, hantaran tersebut memaparkan keadaan kanak-kanak berkenaan yang disyaki diabaikan di sebuah pangsapuri di Balik Pulau, namun pemeriksaan awal terhadap kanak-kanak tidak menemukan kesan lebam atau kecederaan fizikal.

“Kedua-dua kanak-kanak telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,’” ujarnya.

Sejak semalam tular di media sosial mengenai dua beradik kembar berusia lapan tahun menjadi mangsa dera apabila didakwa dipaksa tidur di kaki lima flat oleh ibu tiri mereka, mencetuskan kemarahan dan kesedihan ibu kandung kanak-kanak itu.

Menurut perkongsian di Facebook ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Wana, dia tidak menyangka anak-anak yang dijaga bekas suami bersama isteri baharunya berdepan nasib malang sehingga tidak diberi makan dan tempat tinggal sewajarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |