KUALA LUMPUR – Malaysia akan menghantar satu pasukan ke Thailand bagi membincangkan perjanjian gencatan senjata serta terma rujukan (TOR) dalam masa terdekat.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berkata, perkara itu telah pun dibincangkan antara Thailand dan Kemboja dalam mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC).
“Mereka (Kemboja dan Thailand) telah bersetuju mengenai TOR yang telah kita bincangkan dan dipersetujui bersama Kemboja, dan ia akan dilihat serta dibincangkan semula dengan Thailand.
“Saya akan menghantar sebuah pasukan ke Thailand untuk membincangkan mengenai TOR tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Persidangan Panglima Angkatan Tentera ASEAN ke-22 (ACDFM) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Nizam berkata, Pasukan Pemerhati Interim (IOT) dari Malaysia, Filipina dan Indonesia telah pun berangkat ke Kemboja manakala Brunei dan Singapura bakal menyusul kemudian.
Beliau berkata, pasukan ini diberikan mandat untuk memastikan perjanjian gencatan senjata dipatuhi dengan tegas.
Katanya, ini merupakan langkah pertama bagi ASEAN apabila membuat keputusan untuk bergerak sebagai satu entiti.
“Kali terakhir, saya sendiri yang mengetuai pasukan tersebut. Saya telah pergi bersama 11 orang anggota pasukan. Tujuannya bukan untuk membuat pemeriksaan tetapi untuk berbincang mengenai hala tuju bersama Thailand dan Kemboja.
“Kita harus sentiasa ingat bahawa masalah yang mereka hadapi sekarang adalah secara dua hala, dan kita sebagai ASEAN datang untuk membantu memastikan gencatan senjata dapat dipelihara.
“Mungkin selepas ini akan ada penglibatan daripada negara anggota ASEAN yang lain. Buat masa ini, hanya lima negara terlibat, tetapi pada masa akan datang, anggota ASEAN lain juga akan turut serta,” katanya. – KOSMO! ONLINE