WASHINGTON – Syarikat Meta memecat 4,000 pekerjanya dalam satu langkah bertujuan untuk menyingkirkan pekerja yang kurang berprestasi, lapor akhbar New York Post semalam.
Pemberhentian itu dibuat selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meta, Mark Zuckerberg mengumumkan rancangan untuk mengurangkan kira-kira lima peratus kakitangannya pada bulan lalu.
Bos Facebook dan Instagram itu turut berkata, beliau memutuskan untuk meningkatkan tahap pengurusan prestasi dan mengambil pendekatan lebih tegas untuk menyingkirkan mereka yang berprestasi rendah.
“Langkah ini sama seperti yang dilakukan oleh bilionair, Elon Musk di syarikatnya,” kata Zuckerberg dalam satu memo.
Kebanyakan pekerja yang terjejas menyifatkan pemberhentian itu sebagai satu tamparan hebat, terutamanya selepas mendakwa mereka menerima penarafan ‘memenuhi atau melebihi jangkaan’ semasa penilaian petunjuk prestasi utama (KPI) bagi tahun 2024 dilakukan.
“Saya sangat terkejut. Pengurus sebelum ini memberitahu bahawa saya telah melakukan yang terbaik dan tiada apa yang perlu diperbaiki. Dia turut berkata bahawa saya tidak akan dibuang,” kata seorang pekerja yang diberhentikan.
Bulan lalu, Zuckerberg menekankan keinginannya untuk bertindak cepat bagi ‘menyingkirkan’ pekerja yang berprestasi rendah.
Bagaimanapun, panduan dalaman membenarkan pengurus syarikat gergasi teknologi itu untuk memasukkan pekerja yang mencatatkan prestasi lebih tinggi dalam senarai pemberhentian.
Ia boleh dilakukan sekiranya mereka tidak dapat memenuhi sasaran pengurangan dengan kakitangan prestasi rendah sahaja, lapor portal berita Business Insider. – AGENSI