‘Penunggu’ Sungai Batu Pahat bikin onar, penduduk mahu Perhilitan buat sesuatu

3 hours ago 2

BATU PAHAT – Kemunculan tiga ekor buaya yang berjaya ditangkap penduduk Kampung Parit Lapis Gantong di sini membibitkan rasa gusar pekebun dan penternak terhadap keselamatan diri serta ternakan mereka.

Buaya jantan seberat kira-kira 410 kilogram yang ditangkap pada Rabu lalu sebelum dua ekor lagi masing-masing seekor buaya betina dengan anggaran berat 300 kilogram serta seekor anak reptilia itu sepanjang satu meter dapat menggambarkan bahawa haiwan itu seolah-olah menjadikan kawasan kebun sawit berpaya berdekatan kampung sebagai tempat pembiakan.

Ia dikuatkan lagi dengan penemuan sebanyak 57 biji telur dalam satu sarang di tempat penemuan buaya betina semalam.

M.Nazri Sadikin, 53, berkata, secara hakikatnya penemuan buaya di Sungai Batu Pahat khususnya di Kampung Lapis Gantong telah berlaku sejak kira-kira 20 tahun lalu namun ketika itu ia tidak mengancam keselamatan penduduk apabila hanya dapat dilihat di tali-tali air berhampiran kebun sahaja.

Katanya, apabila ada buaya yang ditemui berada hampir 200 meter dari tebing Sungai Batu Pahat untuk bersarang malah anak buaya yang ditangkap semalam itu berada dalam rumah penduduk, kejadian itu telah menimbulkan satu kebimbangan yang perlu ditangani oleh pihak berkuasa khususnya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebelum sesuatu perkara tidak diingini berlaku.

“Malah mengikut rekod yang dicatatkan oleh Perhilitan, terdapat lebih 400 ekor buaya menghuni Sungai Simpang Kiri, Simpang Kanan dan Sungai Batu Pahat di mana ketiga-tiga ini sungai ini bersambung antara satu sama lain.

“Dengan rekod yang sedia ada itu, tidak mustahil kawasan-kawasan kebun berpaya seperti di Kampung Parit Lapis Gantong ini dan tempat-tempat lain sebagai salah satu tempat pembiakan reptilia ini,”katanya ketika ditemui hari ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |