Hoki: Malaysia belasah Indonesia 10-0

5 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Pasukan hoki bawah 18 tahun (B-18) lelaki negara terus berada dalam kedudukan selesa untuk ke separuh akhir pada saingan Piala Asia B-18 selepas membelasah Indonesia 10-0.

Pada aksi Kumpulan B yang berlangsung di Dazhou, China, skuad kendalian Mohd. Sufian Mohamad itu langsung tidak menunjukkan belas kasihan apabila melakukan asakan bertubi-tubi ke arah pintu gol lawan.

Hasilnya, skuad Young Tigers berjaya meledak 10 jaringan menerusi Iman Faris Saizo (2 gol), Muhammad Safwan Salihe (3 gol), Muhammad Saiful Syahfy Mohd. Baddruddin (1 gol), Muhammad Izz Ilhan Azrul Ridzuan (1 gol), Muhammad Hisyamumudin Abdul Rani (1 gol), Aferullsyah Ahmad Azuan Syahril (1 gol) dan Muhammad Rafiq Mohamad Raze (1 gol).

Sufian berkata, beliau sudah menjangka Indonesia akan mengambil pendekatan bermain secara bertahan dan Malaysia menggunakan kesempatan dengan sebaiknya apabila melancarkan serangan bertali arus.

“Syukur Alhamdulillah untuk tiga mata penuh pada perlawanan kedua hari ini (semalam). Memang saya sudah mengingatkan kepada semua pemain supaya memberikan lebih fokus kepada aksi penyudah.

“Kita dapat menjaringkan gol menerusi aksi padang dan pukulan sudut penalti (PC). Kita sudah jangka dari awal Indonesia akan berkampung dalam kawasan sendiri dan perancangan serta strategi kita menjadi,” katanya.

Kemenangan itu meletakkan Malaysia di tangga kedua Kumpulan B meskipun berkongsi enam mata dengan pendahulu, Jepun yang turut mencatat kemenangan dalam dua perlawanan awal.

Mengulas perlawanan ketiga menentang Taiwan yang dijadualkan berlangsung esok, beliau berharap anak-anak buahnya dapat memanfaatkan sepenuhnya waktu rehat sehari bagi mengekalkan momentum kemenangan.

“Esok (hari ini) tidak ada perlawanan tetapi kita masih fokus kepada aksi menentang Taiwan. Saya harap pemain-pemain dapat rehat secukupnya kerana kita galas misi kutip tiga mata, namun tidak boleh terlalu yakin,” ujar Sufian. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |