PATI bayar RM500 dapat isteri warga emas

5 hours ago 5

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menahan lima lelaki termasuk dalang utama sindiket yang menawarkan perkhidmatan perkahwinan warga asing dengan rakyat tempatan dalam operasi khas di sekitar Putrajaya, di sini kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, modus operandi yang digunakan sindiket disyaki menawarkan perkhidmatan imigresen iaitu isteri kepada warga tempatan .

Menurutnya, antara lain sindiket itu turut menawarkan perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) iaitu permohonan perkahwinan warga tempatan dengan warga asing.

“Mereka menyasarkan warga emas iaitu warga tempatan yang berada di Lembah Klang dan ingin berkahwin dengan warga asing.

“Kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM50 hingga RM500 untuk setiap permohonan yang ditawarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, kesemua suspek yang berusia lingkungan 30 hingga 66 tahun ditahan dalam serbuan bermula pukul 9.19 pagi melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu, empat lelaki tempatan berjaya ditahan dipercayai berperanan sebagai ‘dalang utama’.

“Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai sebagai ‘orang tengah. Sindiket ini dipercayai telah beroperasi selama setahun.” ujarnya.

Katanya, pasukan operasi telah menyita sebanyak enam naskhah pasport Malaysia, pasport China (22), pasport Bangladesh (7), pasport Indonesia (3), pasport Vietnam (2) dan masing-masing satu pasport Myanmar serta Macau.

Selain itu, Zakaria berkata, sitaan turut membabitkan sebuah komputer riba, dua unit mesin pencetak, dokumen JIM dan JPN, serta dua beg galas dan wang tunai berjumlah RM3,070 dipercayai hasil sindiket.

“JIM juga menyita dua kenderaan Perodua Beza dan Honda CRV yang dipercayai digunakan oleh sindiket ini.

“Kesemua lima lelaki warganegara tempatan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |